TH Properties jual 20 hektar tanah bernilai RM70 juta di Bandar Enstek kepada empat syarikat | DagangNews Skip to main content

TH Properties jual 20 hektar tanah bernilai RM70 juta di Bandar Enstek kepada empat syarikat

Perbandaran perindustrian di Bandar Enstek. [Foto TH Properties]
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Feb - TH Properties Sdn Bhd, anak syarikat Lembaga Tabung Haji, menandatangani perjanjian jual beli (SPA) dengan empat syarikat yang membeli sekitar 20.23 hektar tanah perindustrian dan pertanian di Bandar Enstek, Negeri Sembilan, dengan nilai jualan RM70.26 juta.

 

Empat syarikat berkenaan adalah GoBuilders Netsoft Sdn Bhd, Kolej Epsom di Malaysia menerusi Educ8 Group Sdn Bhd, Malindo Airways Sdn Bhd (Batik Air) dan Meta Legends Sdn Bhd.

 

Malindo Airways membeli 1.67 hektar tanah di dalam perbandaran perindustrian Fasa 1 techpark@enstek untuk cadangan latihan dan kompleks sajian dalam penerbangannya.

 

Sementara itu, syarikat teknologi logistik rantaian sejuk,  GoBuilders Netsoft membeli 5.4 hektar tanah dalam Fasa 2 techpark@enstek.

 

Kumpulan Educ8 pula memperoleh tanah seluas 12 hektar bersebelahan tanah 20 hektar sedia ada yang bertujuan untuk rancangan pembesaran Epsom College pada masa hadapan. Pemaju komersial, Meta Legends pula membeli 0.9 hektar tanah pertanian bagi pembangunan komersial masa hadapan.

 

Pengerusi TH Properties, Datin Paduka Kartini Abdul Manaf berkata, urusan jual beli tanah itu merupakan satu pencapaian penting bagi Bandar Enstek selepas pemaju berjaya melancarkan fasa ketiga techpark@enstek pada November tahun lepas.

 

“Sehingga kini, techpark@enstek Fasa 1 telah dijual sepenuhnya dan 91.5% daripada Fasa 2 telah diambil. Bandar Enstek pantas menjadi lokasi pilihan nama-nama besar seperti Kolej Epsom, Coca-Cola, Mahsuri Foods, Purecircle Sdn Bhd, Farm Fresh Bhd, Kellogg's Malaysia, Ajinomoto Malaysia, Dutch Lady Milk Industries Sdn Bhd, Mac Food Services dan banyak lagi kerana lokasinya yang strategik. 

 

“Penambahan [empat] pelabur baharu ini akan menjadi rahmat kepada pembangunan ekonomi kawasan khususnya dan Negeri Sembilan secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Majlis disaksikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan turut hadir, ahli-ahli EXCO Kerajaan Negeri; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman.

 

Kartini berkata, secara terkumpul, kesemua syarikat berkenaan dijangka akan membawa masuk nilai pelaburan lebih RM420 juta pada masa hadapan dan berupaya mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan di Bandar Enstek.

 

Sementara itu, Aminuddin Harun berkata penglibatan TH Properties dalam membawa masuk pelaburan melalui Bandar Enstek, dan techpark@enstek khususnya, merupakan penyumbang penting kepada pembangunan ekonomi Negeri Sembilan.

 

Beliau berkata, penyertaan pelabur ke Bandar Enstek akan dapat membantu meningkatkan tahap pembangunan pendidikan dan sosio-ekonomi di kawasan berkenaan. - DagangNews.com