TH tidak pernah lantik orang tengah untuk uruskan perkara berkaitan haji | DagangNews Skip to main content

TH tidak pernah lantik orang tengah untuk uruskan perkara berkaitan haji

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Nov - Lembaga Tabung Haji (TH) menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan pihak ketiga yang menawarkan sebarang dana melalui panggilan telefon bagi tujuan mengerjakan ibadat haji.

 

Baru-baru ini, TH menerima laporan daripada pendeposit bahawa ada individu tidak bertanggungjawab yang menawarkan dana haji untuk membolehkan mereka menunaikan haji dengan lebih cepat. 

 

"Pemilihan giliran menunaikan haji adalah berdasarkan sistem pendaftaran dengan konsep yang dahulu didahulukan.

 

"TH tidak pernah melantik mana-mana organisasi atau orang perseorangan untuk menjadi agen atau orang tengah dalam perkara berkaitan tawaran haji mahupun pakej haji. 

 

"Kami berharap orang ramai agar lebih berhati-hati apabila menerima sebarang tawaran dana bagi urusan haji daripada pihak yang tidak dikenali," katanya dalam satu kenyataan.

 

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh berhubung dengan THCC di talian 03-6207 1919.-DagangNews.com