Thailand, Indonesia berpotensi jadi 'lubuk' utama pertumbuhan eksport Proton | DagangNews Skip to main content

Thailand, Indonesia berpotensi jadi 'lubuk' utama pertumbuhan eksport Proton

Proton X50

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com 

 

 

KUALA LUMPUR 12 Mac. - Pasaran Thailand dan Indonesia dilihat mempunyai potensi yang besar sebagai pemacu utama kepada pertumbuhan eksport kenderaan nasional, Proton Holdings Bhd. (Proton).

 

CGS-CIMB Research berkata, peluang pasaran di kedua-dua negara berkenaan bagaimanapun masih dikaji anak syarikat DRB-Hicom Bhd itu.

 

"Proton menetapkan rancangannya untuk berkembang  dengan sasaran menggandakan jumlah eksport pada tahun 2021, setelah melancarkan X70 di Brunei dan Pakistan selain permulaan operasi pembuatan di Kenya tahun lalu.

 

"Jualan eksport tahun lalu menyumbang sekitar 2% kepada jumlah jualan Proton pada 2020.

 

"Sementara itu, Proton juga masih mengkaji dan meneroka peluang kerjasama untuk menembusi pasaran Thailand dan Indonesia, kami merasakan ia boleh menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan eksport Proton," jelas CGS-CIMB Research.

 

Mengakhiri 2020, Proton berjaya mengukuhkan kedudukannya di rantau ini dengan bahagian pasaran 5.9% sekali gus meletakkan Proton antara enam jenama automotif terbesar dalam pasaran gabungan Malaysia, Indonesia dan Thailand.

 

Jumlah itu meningkat berbanding hanya 2.3% pada 2018 dan 3.8% pada 2019.

 

Di bawah strategi transformasi jenama berkenaan, Proton turut berhasrat untuk tampil sebagai pemain industri ketiga terbesar di Asia Tenggara menjelang 2027.

 

Dalam persidangan bersama DRB-Hicom semalam, CGS-CIMB Research dimaklumkan bahawa Proton merancang untuk memperkenalkan enam hingga tujuh model yang mengintegrasikan teknologi baharu.

 

CGS-CIMB Research memberitahu, kumpulan tersebut juga sedang meningkatkan pengeluaran X50 dan X70 di Tanjung Malim bagi memenuhi permintaan yang tinggi.

 

Model berkenaan dimaklumkan mempunyai tunggakan pesanan selama tiga hingga empat bulan.

 

Dalam persidangan sama, pihak pengurusan turut mengharapkan jualan Proton dapat mengatasi sasaran yang diletakkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebanyak 8% pada 2021. - DagangNews.com