TheGigabit, ESET meterai MoU tingkatkan keselamatan siber syarikat di Malaysia | DagangNews Skip to main content

TheGigabit, ESET meterai MoU tingkatkan keselamatan siber syarikat di Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Mac - Gigabit Hosting Sdn Bhd (TheGigabit) dan pengedar vendor keselamatan siber ESET di Malaysia, Axento Asia Sdn Bhd (ESET Malaysia) memeterai memorandum persefahaman (MoU) sebagai langkah untuk meningkatkan keselamatan siber untuk syarikat-syarikat di Malaysia.

 

TheGigabit dan ESET Malaysia memaklumkan, kerjasama itu menandakan satu langkah penting untuk melindungi perniagaan-perniagaan tempatan daripada ancaman siber yang mengalami peningkatan mendadak, terutamanya serangan pancingan data dan perisian tebusan di seluruh Malaysia.

 

Di Malaysia katanya, terdapat peningkatan yang membimbangkan dalam insiden perisian tebusan, dengan kerugian sebanyak AS$500 juta (RM2.3 bilion), menurut CyberSecurity Malaysia. 

 

"Dengan kerjasama ini, kedua-dua syarikat berazam untuk meningkatkan keselamatan siber untuk semua pelanggannya dengan menggunakan rumusan keselamatan siber terkini yang dikuasakan oleh teknologi kecerdasan buatan (AI) dan kepakaran manusia. 

 

"Ini menjadikan ekosistem TheGigabit sebagai ruang selamat untuk pemilik perniagaan dalam talian. Pasukan Operasi Keselamatan (SOC) yang diperakui dari TheGigabit kini dilengkapi dengan rumusan keselamatan siber terkini ESET.

 

"Ia akan memastikan syarikat-syarikat mendapat perlindungan yang terbaik di dalam kelasnya," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Teknologi TheGigabit, West Teoh menekankan impak malapetaka kebocoran data terhadap perniagaan, yang menonjolkan keperluan untuk langkah-langkah pencegahan. 

 

"Bayangkan pelayan kritikal anda tiba-tiba menjadi mangsa perisian tebusan dan pihak yang bertanggungjawab boleh menuntut wang tebusan sehingga RM2 juta, seperti yang kita lihat dalam kes-kes yang dilaporkan.

 

"Jika data anda tidak dapat dipulihkan, perniagaan anda tidak akan beroperasi selama beberapa bulan kerana tumpuan akan beralih kepada pemulihan data. Kerugian akan menjadi sangat besar, bukan sahaja dalam soal keuntungan malah peluang yang terlepas. 

 

"Bagaimanapun, dengan pengiktirafan global ESET sebagai penyedia keselamatan siber peringkat tinggi dan pengalaman dan infrastruktur TheGigabit yang luas, saya yakin perkongsian kami dengan ESET akan meningkatkan pertahanan siber perniagaan dengan ketara, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana," katanya.

 

Pengurus Negara ESET Malaysia, Michal Chovančík pula berkata, menerusi laporan Matriks Kepimpinan Cybersecurity 2023 terbaru firma penyelidikan dan analisis Canalys, ESET adalah antara lapan vendor teratas untuk pembekal perisian keselamatan dan berjaya mengekalkan status ‘juara’ untuk lima tahun berturut-turut. 

 

"Ini menunjukkan pertumbuhan ketara bagi ESET dan kepercayaan yang diperolehinya dari para pelanggan. Dengan status TheGigabit yang kukuh di Malaysia, saya yakin bahawa perkongsian kami dengan TheGigabit yang bermula sejak 2020, akan meningkatkan lagi jenama dan meluaskan jangkauan kami, mencerminkan kejayaan global," katanya. - DagangNews.com