TheNoor sasar kumpul dana RM5 juta menerusi pembiayaan dana awam berekuiti islamik | DagangNews Skip to main content

TheNoor sasar kumpul dana RM5 juta menerusi pembiayaan dana awam berekuiti islamik

Neelofa menunjukkan aplikasi TheNoor yang telah memperoleh hampir 6 juta muat turun di Google Play Store dan Apple App Store.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Aplikasi super islamik pertama di Malaysia, TheNoor (Noor Luminous Sdn Bhd) menyasarkan untuk mengumpul dana sebanyak RM5 juta (AS$1.12 juta) melalui platform pelaburan berimpak Malaysia dan pembiayaan dana awam berekuiti islamik, Ethis.

 

Dengan nilai pelaburan awal sebanyak RM42,900,000 (AS$9.62 juta), pelabur boleh mengambil bahagian dalam kempen ECF untuk menyertai perniagaan TheNoor (bermaksud 'cahaya' dalam bahasa Arab) dengan jumlah pelaburan minimum RM500 untuk memiliki 20 unit saham.

 

Sejak dilancarkan pada Januari 2021, aplikasi TheNoor telah memperoleh hampir 6 juta muat turun di Google Play Store dan Apple App Store dengan mempunyai lebih 2.8 juta pengguna berdaftar. 

 

Selain membantu pengguna mencapai komitmen rohani, aplikasi itu juga mendekatkan mereka kepada agama melalui pembelajaran berterusan dan pendedahan kepada ajaran Islam melalui kaedah yang lebih segar, mudah diakses, interaktif dan secara peribadi.

 

Aplikasi itu menawarkan pengesanan masa nyata untuk mencari lokasi masjid berdekatan dan arah kiblat, jadual waktu solat, pembayaran zakat, kalkulator algoritma faraid untuk pengiraan pengagihan harta mengikut syariah serta maklumat cuaca terkini.

 

Ia juga menyediakan bacaan ayat-ayat al-Quran secara moden dan komprehensif yang dilengkapi dengan pilihan terjemahan suara dalam lima bahasa dengan audio resolusi tinggi. Ia juga menampilkan ciri-ciri bantuan membaca al-Quran untuk mereka yang baru belajar.

 

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Teknologi TheNoor, Mohd Izzairi Yamin berkata, pelaburan yang diperoleh akan disalurkan untuk memanfaatkan pasaran yang berkembang pesat, meningkatkan usaha penyelidikan dan pembangunan, pengiklanan, promosi serta mengembangkan pasukan.

 

"Kami terus mengusahakan pelbagai ciri baharu untuk mewujudkan nilai tambah bagi pengguna serta memperkenalkan kandungan yang lebih interaktif, pendidikan untuk kanak-kanak, mewujudkan kaunter Syariah, e-dompet dan banyak lagi,” katanya.

 

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif TheNoor, Noor Neelofa Mohd Noor pula berkata, TheNoor direka untuk masyarakat Islam yang menyesuaikan antara permintaan kehidupan moden sama ada di rumah, tempat kerja atau ketika melancong. 

 

 

lofa

 

 

"Ia adalah sumber utama untuk umat Islam di mana-mana untuk membentuk hubungan yang bermakna dengan bantuan pendidikan agama berteraskan prinsip dan cita-cita Islam. Teknologi bukan sahaja boleh membantu kita menjadi lebih produktif dan berhubung, tetapi ia juga boleh membantu kita menjadi umat Islam yang lebih baik," katanya.

 

Tahun ini, dengan kerjasama Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd (THTS), TheNoor merancang untuk memperkenalkan pakej umrah dalam aplikasi, yang akan membolehkan pengguna menjalankan segala urusan berkaitan umrah, daripada pendaftaran dan tempahan sehinggalah selesai ibadat tersebut.

 

TheNoor juga akan mengadakan pertandingan tilawah al-Quran pada September 2022 dengan lima pemenang teratas akan menerima pakej menunaikan umrah secara percuma serta tiga blok pelaburan di TheNoor bernilai RM1,500.

 

Pelabur yang berminat boleh mengambil bahagian dalam kempen pembiayaan dana awam berekuiti TheNoor di https://ethis.co/my/project/thenoor/. - DagangNews.com