KUALA LUMPUR 31 Jan - Anak syarikat milik penuh Theta Edge Bhd, Theta Telecoms Sdn Bhd, dilantik sebagai penyedia perkhidmatan universal yang ditetapkan untuk penyediaan dan pelaksanaan projek Fasa 1 (Bahagian 1) Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Penyedia perkhidmatan kejuruteraan telekomunikasi dan komunikasi itu berkata, anak syarikatnya telah menerima makluman pelantikan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk pembekalan, penghantaran dan pemasangan struktur menara dan tambahannya, bagi menyediakan perkhidmatan selular untuk 221 lokasi dalam sasaran perkhidmatan universal untuk 14 kluster.
“Jumlah kos projek itu adalah maksimum sebanyak RM154.36 juta, termasuk sebarang cukai terpakai yang dikenakan oleh kerajaan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Theta Edge, ahli Kumpulan Tabung Haji yang memiliki 30% kepentingan ekuiti berkata, projek itu akan dilaksanakan selama sembilan bulan dari tarikh penerimaan makluman (29 Januari 2022).
Katanya projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.
Theta Edge merupakan Pembekal Perkhidmatan Komunikasi dan Teknologi Maklumat (ICT) perintis Malaysia.
Syarikat itu membuat penampilan sulungnya di Papan Kedua Bursa Saham Kuala Lumpur pada tahun 1994 dan berpindah ke Papan Utama pada tahun 1999 dan kini dikategorikan di bawah sektor teknologi pasaran utama Bursa Malaysia Securities Berhad.
Kumpulan telah menjalankan perniagaan selama lebih daripada 30 tahun dengan memberi tumpuan kepada penyelesaian Teknologi Maklumat, Perkhidmatan Kejuruteraan Telekomunikasi & Penyelesaian Mobiliti Kerja Awam, Perunding Tenaga Hijau dan Penyepadu Sistem Perniagaan.
Theta Edge terus berkembang dan pada masa ini mempunyai lebih daripada 300 profesional yang bekerja dengan pakar dalam pelbagai bidang untuk menyampaikan penyelesaian kepada pelanggan mereka.
"Theta Edge terus memupuk profesional ini dengan pengetahuan dan alatan semasa untuk menyediakan tawaran penyelesaian dalam persekitaran teknologi dinamik," katanya. -DagangNews.com