Theta Edge, Nova MSC bekerjasama peroleh projek penyelesaian e-kerajaan  | DagangNews Skip to main content

Theta Edge, Nova MSC bekerjasama peroleh projek penyelesaian e-kerajaan 

Dari kiri, Mohamad Izzat Serpudin, CFO Theta Edge Berhad; Datuk Nuraslina Zainal Abidin, CEO Kumpulan Theta Edge Berhad; Nazerollnizam Kasim, Pengarah Eksekutif Nova MSC Berhad dan Dato' Adriana Law, Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Nova MSC Berhad pada majlis memeterai perjanjian kerjasama di Kuala Lumpur pada 5 September 2023.
oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 6 Sept - Theta Edge Bhd dan Nova MSC Bhd membentuk kerjasama untuk mengenal pasti dan mendapatkan projek penyelesaian e-kerajaan masa depan di Malaysia.

 

Kedua-dua entiti menandatangani perjanjian usaha sama (JV) pada hari Selasa untuk mengawal selia hak dan hubungan bagi syarikat JV (JVCo) bagi bersama-sama menyediakan penyelesaian e-kerajaan dan penyelesaian teknologi maklumat (IT) lain, termasuk sistem integrasi, penyumberan luar, perundingan dan perkhidmatan sistem infrastruktur.

 

JVCo akan dimiliki 60% Theta Edge dan 40% oleh Nova MSC. Walaupun begitu, kedua-dua syarikat menggariskan bahawa Nova MSC akan menjadi rakan kongsi utama dalam JV seperti yang ditetapkan dalam JVSA.

 

Dalam kenyataan bersama, Theta dan Nova MSC berkata sekiranya JVCo dianugerahkan sebarang projek, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan setiap syarikat masing-masing.

 

"Menggabungkan kepakaran teknologi kami dengan pengalaman luas Theta dalam sektor ICT, kami menyasarkan untuk mentakrifkan semula penyelesaian e-kerajaan dan IT di Malaysia," kata pengarah eksekutif Nova MSC Nazerollnizam Kasim dalam satu kenyataan.

 

"Perkongsian ini adalah bukti komitmen kami untuk menyampaikan nilai yang tiada tandingan kepada pelanggan dan pihak berkepentingan kami."

 

Sementara itu, CEO Kumpulan Theta Edge Datuk Nuraslina Zainal Abidin, berkata: “JV ini merupakan gabungan menarik dua pemimpin industri yang bertujuan untuk meningkatkan penyelesaian IT di Malaysia. Kami yakin gabungan kekuatan kami akan membawa ke hadapan era inovasi baharu, memastikan pelanggan kami mendapat manfaat daripada yang terbaik daripada kedua-dua dunia.”

 

Terdahulu, pada Januari, kedua-dua syarikat telah menandatangani memorandum persefahaman untuk mengadakan perbincangan bagi potensi perkongsian bagi memasarkan dan mempromosikan penjagaan kesihatan, sektor awam dan penyelesaian dan produk kecerdasan buatan gunaan di Malaysia dan negara Asean lain.

 

Saham dalam Theta Edge ditutup 1.5 sen atau 2.38% lebih rendah pada 61.5 sen, memberikan syarikat itu permodalan pasaran sebanyak RM71.97 juta. Sementara itu, saham Nova MSC ditutup tidak berubah pada 10.5 sen, menilai syarikat itu pada RM124.68 juta. - DagangNews.com