KUALA LUMPUR 8 Ogos - Transparency International Malaysia (TI-M) mengkritik skandal kapal tempur pesisir pantai (LCS), dengan membandingkannya dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mengatakan Malaysia semakin terkenal dengan amalan tadbir urus buruk yang mengakibatkan kerugian berbilion ringgit dana awam.
TI-M dalam satu kenyataan mengajukan beberapa soalan berhubung latar belakang kontroversi LCS termasuk atas dasar apa Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd dianugerahkan kontrak itu.
Ia juga membuat beberapa cadangan seperti tidak membuat bayaran lanjut sehingga penghantaran kapal, menyiasat semua peringkat kontraktor dan subkontraktor serta mandat ke atas semua projek bernilai tinggi dan berimpak tinggi untuk disemak oleh parlimen sebelum diluluskan.
“Dengan banyak struktur tadbir urus dan audit dalam sektor awam yang bertanggungjawab untuk mencegah rasuah dan menambah baik amalan tadbir urus yang baik, bagaimana projek LCS yang bermula pada 2013 boleh dibiarkan menjadi pemerolehan yang besar dan kegagalan tadbir urus untuk sekian lama?.
“Di manakah pengawasan, tadbir urus dan akauntabiliti? Atau adakah ia menjadi tidak kelihatan, sama seperti kapal-kapal yang sepatutnya dihantar? Adakah menghairankan bahawa skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia berada pada aliran menurun sejak dua tahun lalu sejak paras tertinggi pada 2019?," katanya.
Presiden TI-M, Muhammad Mohan menggelar malapetaka itu sebagai 'tanda tanya utama mengenai integriti, ketelusan dan tadbir urus baik projek ini'.
Bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong semalam mendakwa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah meluluskan projek itu semasa beliau menjadi Menteri Pertahanan pada 2011.
Ahmad Zahid sebelum ini memberitahu UMNO Online bahawa beliau bukan Menteri Pertahanan ketika projek itu dianugerahkan.
Minggu lalu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memaklumkan laporan dan syor Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai skandal LCS akan diteliti Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh mendedahkan bahawa lebihan kos untuk projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.
Projek LCS merupakan perolehan terbesar dalam sejarah MINDEF dengan kos keseluruhan RM9 bilion, Malay Mail melaporkan.
Kontrak tersebut bermula pada 2013 dengan jangka masa sepuluh tahun dan enam kapal LCS dijangka dibina dan dihantar ke negara ini menjelang akhir 2023. - DagangNews.com