Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Dis. - Harapan untuk harga minyak mentah kembali pulih selepas rancangan potongan pengeluaran sumber itu dikhuatiri tidak mendatangkan impak yang besar.
Walaupun pengeluaran minyak terus dikurangkan sehingga memasuki tahun 2021, MIDF Research berpendapat impaknya kecil terhadap lonjakan harga minyak pada masa akan datang.
“Ini berikutan kami menjangkakan pemulihan harga minyak akan lebih berkait rapat dengan perkembangan vaksin COVID-19 yang menggambarkan potensi kenaikan permintaan dan menunjukkan pemulihan ekonomi memasuki 2021.
“Dalam pada itu, kami percaya keputusan itu akan mendatangkan impak kecil terhadap pemulihan harga minyak memandangkan kami masih meramalkan bekalan akan kekal berlebihan daripada permintaan pada 2021,” kata MIDF dalam nota kajiannya.
Pada awalnya, Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+) telah bersetuju untuk melanjutkan pemotongan pengeluaran minyak di negara masing-masing sehingga penghujung Disember 2020.
Sama ada pertubuhan itu akan mempertimbangkan langkah berkenaan memasuki 2021 masih belum dimuktamadkan.
Bagaimanapun, melihat kepada persekitaran operasi ketika ini, hasrat itu kekal sebagai agenda utama pada perjumpaan OPEC+ akan datang yang dijangka berlangsung hari ini.
Pertikaian sama ada untuk meneruskan langkah itu atau tidak masih berterusan antara anggota-anggota.
Jelas MIDF, ini berlaku apabila kewangan Rusia tiada masalah untuk berdepan harga minyak mentah lebih rendah, berbanding Arab Saudi yang memerlukan sekurang-kurangnya AS$70 mata asas untuk mencapai fiskal seimbang.
“Situasi yang terbaik bagi harga minyak itu adalah dengan melanjutkan pemotongan pengeluaran sehingga separuh pertama 2021 (1H21).
“Bagaimanapun, sekiranya pertubuhan itu membuat keputusan untuk meredakan potongan pengeluaran seperti perancangan awal mereka, ia akan mendorong kepada peningkatan paras inventori di negara-negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dan seterusnya, menyebabkan penurunan harga minyak,” tambah MIDF.
Firma penyelidik itu menjangkakan industri minyak dan gas berterusan dipengaruhi perkembangan pandemik COVID-19 pada 2021 yang terus menjejaskan ekonomi dunia termasuk permintaan produk industri itu.
Sehubungan itu, bekalan minyak juga akan kekal berlebihan memasuki 1H21 jika dibandingkan dengan permintaan yang ada disebabkan oleh peningkatan semula kes COVID-19.
Di negara-negara Eropah menyaksikan kes harian semakin meningkat sekali gus mencetuskan perintah berkurung baharu yang akan melambatkan lagi pemulihan.
Apatah lagi, peningkatan bekalan minyak itu juga bertambah buruk apabila negara-negara yang awalnya menyekat pengeluaran sumber itu kerana perselisihan faham dalaman seperti Libya akan meneruskan pengeluarannya.
Libya dijangka ‘membanjiri’ pasaran minyak dengan tambahan 1.0 hingga 1.3 juta tong sehari (mbpd) pada bulan-bulan akan datang daripada 100,000 bpd pada September lalu. - DagangNews.com