NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]
KUALA LUMPUR 1 Nov - Kerajaan akan mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang melanggar ketetapan prosedur operasi standard (SOP) dalam mengekang penularan COVID-19 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), sudah jelas menunjukkan perkara yang menyalahi ketetapan kerajaan dan hukuman yang boleh dikenakan tanpa kompromi.
"Undang-undang yang ada di negara kita merangkumi semua pihak, jadi tiada siapa pun akan terlepas darinya.
"Tidak ada sesiapa yang kebal dari segi undang-undang, Akta 342 jelas dari segi hukuman dan kesalahan. Walaupun kita sekarang di Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), SOP yang jelas sudah diumumkan oleh kerajaan.
"Jadi sesiapa sahaja, parti mana sekalipun tidak kebal daripada undang-undang. Jika mereka melakukan kesalahan, tindakan pasti diambil. Kita tidak ada kompromi, tidak ada istilah orang biasa dan orang kayangan. Undang-undang sama sahaja. Jadi, saya harap semua rakyat patuh kepada SOP," katanya selepas melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) serta Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI), di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Baru-baru ini kompaun RM10,000 dikeluarkan kepada Barisan Nasional (BN) selepas mengadakan majlis pelancaran jentera PRN Melaka di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC), minggu lalu.
PKR turut dikenakan kompaun RM10,000 oleh pihak polis selepas mengadakan program penerangan bergerak yang didakwa tanpa kehadiran perhimpunan di Taman Krubong Jaya, pada Sabtu lalu.
Pada 24 Oktober lalu, Khairy mengumumkan, sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya, termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya dilarang bermula 25 Oktober hingga 27 November 2021.-DagangNews.com