Tiada kenaikan, Bank Negara Malaysia kekal OPR pada paras 3% | DagangNews Skip to main content

Tiada kenaikan, Bank Negara Malaysia kekal OPR pada paras 3%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Julai - Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 3% dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang berlangsung hari ini.

 

Bank pusat itu berkata, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal agak akomodatif dan terus menyokong pertumbuhan ekonomi. 

 

MPC terus menilai bahawa risiko ketidakseimbangan kewangan pada masa hadapan adalah terhad. 

 

"MPC kekal berwaspada terhadap perkembangan semasa dan akan terus memantau data baharu bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri. 

 

"Jawatankuasa ini akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil," katanya dalam satru kenyataan.

 

Bank pusat itu berkata, ekonomi global terus berkembang, didorong oleh keadaan permintaan domestik yang berdaya tahan dengan sokongan keadaan pasaran pekerja yang teguh. 

 

Bagaimanapun, pertumbuhan global terus terjejas disebabkan oleh inflasi teras yang berlarutan dan kadar faedah yang lebih tinggi. 

 

Inflasi keseluruhan terus menurun berikutan faktor kos yang lebih rendah. Meskipun inflasi teras juga menjadi sederhana, inflasi tersebut kekal tinggi berbanding dengan purata jangka panjang berikutan faktor permintaan dan kos yang berlarutan. 

 

"Inflasi keseluruhan dan inflasi teras bagi separuh kedua tahun 2023 diunjurkan lebih rendah namun pada amnya adalah mengikut jangkaan. 

 

"Risiko terhadap prospek inflasi terus sangat dipengaruhi oleh inflasi teras yang berlarutan, perubahan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga, serta perkembangan harga komoditi global dan pasaran kewangan," katanya.

 

Susulan pertumbuhan yang kukuh pada suku pertama tahun 2023, bank pusat itu berkata, ekonomi Malaysia berkembang pada kadar yang lebih sederhana pada bulan-bulan kebelakangan ini. 

 

Katanya, keadaan itu berikutan eksport yang terjejas disebabkan oleh permintaan luaran yang lebih perlahan, seperti yang dijangka.

 

"Pertumbuhan bagi bulan-bulan seterusnya pada tahun 2023 akan terus didorong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan," katanya. - DagangNews.com