Tiada keperluan jawatan Timbalan YDP Dewan Rakyat - Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

Tiada keperluan jawatan Timbalan YDP Dewan Rakyat - Muhyiddin

KUALA LUMPUR 7 Okt – Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) telah membuat pendirian bahawa tidak ada keperluan untuk mewujudkan satu lagi jawatan Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat pada masa ini.

 

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kewujudan dua Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat seperti mana yang termaktub dalam Perkara 57(1)(b) Perlembagaan Persekutuan adalah memadai bagi tujuan menjamin kelicinan perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat.

 

Selain itu kata beliau, peruntukan Perkara 57(3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat mempengerusikan Mesyuarat Dewan Rakyat pada masa ketiadaan Yang di-Pertua dan Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga adalah memadai bagi tujuan menjamin kesempurnaan perjalanan Mesyuarat Dewan Rakyat.

 

Justeru ujarnya, tiada keperluan bagi Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menambah satu lagi jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada masa ini.

 

Menurutnya, cadangan pindaan perlembagaan ini memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

 

‘’Perikatan Nasional berpendirian bahawa persefahaman antara Kerajaan dan pembangkang di Parlimen adalah terhad kepada perkara-perkara yang telah dipersetujui bersama dan termaktub secara jelas dalam Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara Perdana Menteri dan pimpinan Pakatan Harapan pada 13 September 2021.

 

‘’Pindaan Perlembagaan untuk menambah jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak termaktub dalam memorandum persefahaman tersebut.

 

‘’Justeru, adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk menuntut pelaksanaannya.

 

‘’Atas dasar ini, Perikatan Nasional telah membuat pendirian untuk tidak menyokong sebarang cadangan pindaan perlembagaan bagi tujuan ini,’’ kata Muhyiddin dalam kenyataan di sini hari ini. – DagangNews.com