Tiada lagi penjarakan sosial untuk aktiviti solat jemaah di masjid, surau bermula 1 April 2022 - PM | DagangNews Skip to main content

Tiada lagi penjarakan sosial untuk aktiviti solat jemaah di masjid, surau bermula 1 April 2022 - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Mac - Aktiviti solat jemaah di masjid dan surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal, bermula 1 April 2022.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaubagaimanapun, pelaksanaan dan prosedur operasi standard (SOP) untuk masjid dan surau tertakluk kepada ketetapan Pihak Berkuasa Agama Negeri dan untuk rumah ibadat selain Islam tertakluk kepada Kementerian Perpaduan Malaysia dan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).

 

"Ini isu besar yang diperkatakan oleh rakyat yang mahukan di masjid sewaktu sembahyang jemaah atau sembahyang Jumaat sekalipun. Rapatkan saf. Jadi, imam selepas ini boleh mengatakan rapatkan saf kerana kita tidak lagi menetapkan perlu ada 1 meter penjarakan sosial," katanya dalam sidang media khas di bangunan Parlimen, hari ini.

 

Beliau berkata, bagi keperluan vaksinasi, had kapasiti pekerja yang sebelum ini bergantung kepada liputan vaksinasi turut dimansuhkan.

 

"Semua individu dibenarkan merentas negeri tanpa mengira status vaksinasi mereka. Sebelum ini, terdapat had kapasiti 50% untuk aktiviti yang melibatkan perkumpulan ramai. 

 

 

pm

 

 

"Dengan pengumuman peralihan ke endemik, had tersebut akan dimansuhkan secara menyeluruh. Tiada lagi had kapasiti 50%. Namun, penjarakan fizikal sangat penting dan masih digalakkan," katanya. - DagangNews.com