Tiada lagi projek perkapalan tangki MISC untuk Petronas? | DagangNews Skip to main content

Tiada lagi projek perkapalan tangki MISC untuk Petronas?

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Sept. - Syarikat penghantaran kapal tangki, MISC Berhad perlu membuat tawaran secara terbuka dan berdaya saing bagi meraih projek perkapalan Petronas, dedah syarikat itu kepada CGS-CIMB Research.

Memetik kenyataan MISC dalam nota kajian CGS-CIMB, syarikat itu menggambarkan Petronas sebelum ini sering menggunakan khidmat penghantaran kapal bagi gas asli cecairnya (LNG), tetapi situasi itu kini telah berubah.

Mengulas mengenai situasi itu, CGS-CIMB tidak pasti sekiranya 17 kontrak MISC yang melibatkan 29 kapal LNG dengan Petronas akan diteruskan kerana teknologi mereka agak ketinggalan. Kontrak itu bakal tamat antara 2023 hingga 2027.

Portfolio aset LNG milik MISC kurang cekap dan lebih berkos tinggi untuk menawarkan operasi buat Petronas.

“Semua portfolio kapal LNG MISC sedia ada lebih kecil iaitu berkapasiti antara 130,000 hingga 150,000 meter padu (cbm) berbanding kapasiti kapal normal terkini, 174,000 hingga 180,000 cbm.  

“Kapal LNG MISC juga menggunakan kaedah penggerak turbin wap tradisional berbanding teknologi enjin bahan api dua strok dan suntikan gas ME-GI atau X-DF. 

"Melihatkan tempahan kapal LNG yang spekulatif dalam buku pesanan perkarangan kapal dan kemungkinan kelewatan beberapa projek pencairan kerana persekitaran harga minyak rendah, Petronas mungkin mempunyai pilihan lain dalam pasaran,” jelas analisis CGS-CIMB. 

Tidak mustahil untuk Petronas memperbaharui kontrak dengan MISC, tetapi syarikat itu perlu menawarkan diskaun sewa lebih tinggi sebagai pampasan kepada Petronas kerana minyak dan perbelanjaan operasi yang tidak mencukupi.

Dalam pada itu, MISC kini lebih menumpukan pelaksanaan projek setelah berjaya memperoleh beberapa kontrak sekaligus meletakkan syarikat itu untuk lebih memilih bagi projek baharu bertujuan menjimatkan modal ekuiti.

Projek yang sedang berjalan dan beberapa kontrak dipegang MISC menelan perbelanjaan modal sehingga AS$4 bilion.

Sebanyak AS$2 bilion daripadanya diperuntukkan bagi satu sahaja projek besar iaitu FPSO Mero-3 untuk syarikat minyak Brazil, Petrobras. 

Pada pertengahan bulan Ogos lalu, Petrobras menghantar Surat Niat (LOI) yang memerlukan MISC mereka bentuk dan membangunkan FPSO bagi disewa Petrobras untuk lebih 22.5 tahun bermula 2024.

“Projek itu kelak dibiayai oleh hutang sehingga 70% daripada perbelanjaan modal dengan 30% dibiayai oleh aliran tunai dalaman atau ekuiti oleh MISC sendiri.

“MISC berhasrat untuk memegang hanya 30% hingga 50% projek FPSO Mero-3 untuk berkongsi risiko dan ganjaran FPSO kepada rakan ekuiti lain. Kaedah terbaiknya adalah untuk menarik semula pelaburan saham ekuiti projek sebelum kerja pembinaan bermula, tetapi MISC dilihat tidak mampu melakukannya atas sebab tidak diketahui,” tambah CGS-CIMB. - Dagangnews.com