Tiada PBB hantar bantuan banjir, video palsu kata Angkatan Tentera Malaysia | DagangNews Skip to main content

Tiada PBB hantar bantuan banjir, video palsu kata Angkatan Tentera Malaysia

KUALA LUMPUR 27 Dis - Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang menafikan dakwaan seperti di dalam penularan video berdurasi 1.00 minit memperlihatkan pergerakan beberapa terak 3 tan berlogokan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) serta berwarna putih, kononnya pertubuhan dunia itu membawa masuk bantuan banjir.

 

''Video yang ditularkan melalui facebook peribadi atas nama Jong Senow dan Nazimah Ibrahim, masing-masing pada 24 dan 7 Disember 2021 adalah TIDAK BENAR sama sekali.

 

''Untuk makluman, paparan video tersebut adalah merupakan proses Final Acceptance Test (FAT) yang dilaksanakan oleh ATM sebelum kenderaan tersebut diaturgerakkan ke Lubnan untuk kegunaan Kontinjen MALBATT 850 yang melaksanakan misi pengaman di bawah United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL),'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Perkongsian video dan teks yang dinyatakan melalui akaun Facebook Jong Senow melalui pautan facebook, menyatakan: “Dengar kata UN dah masuk nk bg bantuan banjir apabila dapat tau NADMA dan krajaan malaysia gagal mengatasi masalah banjir. Depa laju prihatin dan ambik cakna apabila mengetahui misi bantuan n menyelamat banjir di malaysia didokong oleh DARI RAKYAT KE RAKYAT. Ini smua anjrrrr Aku troll je weh xtau la apekebende UN ni ade kat malaysia Smpai skrg xde kenyataan rasmi dari PM or krajaan malaysia. Nak kene tekan jugak baru wat kerja or kluar statement”

 

Perkongsian video dan teks yang dinyatakan melalui akaun Facebook Nazimah Ibrahim pula menyatakan: “Apa gang United Nation ni buat dalam negara kita, nii...? Rasa tak sedap hatii aja ni. Katanya di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat...? Sebelum ni katanya gang UN ni kelihatan terlihat di Perak. Mudah-mudahan ALLAHجل جلاله lindungi penduduk dan negara ini dari sebarang marabahaya atau keburukan. Aamiiin...”

 

Jeneral Tan Sri Affendi meminta masyarakat agar tidak membuat sebarang andaian atau menularkan sebarang perkara yang tidak pasti atau berita palsu kerana ia boleh mengundang pelbagai spekulasi dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat.

 

''Adalah ditegaskan bahawa mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh di dakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,'' kata beliau. - DagangNews.com