Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 17 Dis. - Kerajaan tidak bercadang untuk memberi pengecualian duti setem bagi pindah milik hartanah ibu bapa kepada anak.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, mengikut ketetapan sedia ada, pengecualian duti setem 100% diberikan atas pindah milik antara suami dan isteri sahaja.
Malah, dalam Belanjawan 2020, kerajaan telah mengumumkan peremitan duti setem sebanyak 50% diberikan ke atas surat cara pindah milik bagi urusan pindah milik hartanah atas dasar kasih sayang ibu bapa kepada anak atau sebaliknya.
“Hasrat peremitan duti ini diberikan adalah bagi menggalakkan urusan pindah milik harta antara ibu bapa dan anak dilakukan semasa hidup, bagi mengelakkan berlakunya permasalahan tuntutan harta setelah berlaku kematian antara salah satu pihak yang berkenaan.
“Selain itu juga, ini bertujuan mengurangkan kes tuntutan harta pusaka di mahkamah pada masa akan datang,” katanya kepada Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mohd. Nizar Zakaria (BN-Parit) yang bertanyakan adakah kerajaan bercadang untuk memberikan pengecualian duti setem bagi pindah milik hartanah daripada ibu bapa kepada anak.
Tambah Tengku Zafrul, peremitan duti setem itu terpakai bagi cara pindah milik harta tak alih yang disempurnakan pada atau selepas 1 Januari 2020 dan terhad bagi penerima hartanah yang bertaraf warganegara Malaysia sahaja.
“Kerajaan dari semasa ke semasa akan menilai keberkesanan langkah-langkah ini dan mengkaji kesesuaian sebarang cadangan tambahan berdasarkan keperluan,” katanya. - DagangNews.com