Tiada perubahan kerajaan negeri, kedai nombor ekor tarik nafas lega - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Tiada perubahan kerajaan negeri, kedai nombor ekor tarik nafas lega - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Pengendali kedai nombor ramalan (NFO) kini mampu menarik nafas lega selepas tiada pertukaran kerajaan di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, pada PRN itu, Kerajaan Perpaduan mengekalkan penguasaan mereka di tiga negeri sedia ada walaupun dengan jumlah majoriti yang lebih kecil berbanding sebelum ini dan Perikatan Nasional (PN) kekal di Terengganu, Kelantan dan Kedah.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sebelum PRN, kesemua pengendali NFO termasuk Magnum Berhad bimbang cawangan mereka di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan bakal ditutup sekiranya PN berkuasa di ketiga-tiga negeri itu.

 

"Cawangan NFO di Pulau Pinang adalah sebanyak 18%, Selangor dengan 9% manakala 6% terletak di Negeri Sembilan daripada jumlah keseluruhan.

 

"NFO kini mampu menarik nafas lega selepas 'ancaman' terbesar mereka sudah berakhir," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Maybank IB bimbang lebih banyak kedai nombor ekor ditutup jika kerajaan bertukar di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan 

 

Pada Sabtu lalu, Kerajaan Perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH) berjaya mengekalkan penguasaan di tiga negeri dengan majoriti selesa sebanyak 86%, 73% dan 61% di Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor.

 

Sementara itu, pakatan pembangkang, PN mengekalkan majoriti besar di Terengganu dan Kelantan (hasil penguasaan berterusan PAS di negeri-negeri pantai timur) dan memperoleh majoriti besar di Kedah.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan PRN buka jalan kepada PM Anwar fokus pembaharuan dasar jangka sederhana, kata CGS-CIMB

 

Maybank IB berkata,  jualan NFO pada suku pertama tahun ini mencapai 76% daripada paras suku pertama 2019 atau 6ppts lebih daripada jangkakan walaupun 13 cawangan di Kedah ditutup bermula 1 Januari 2023.

 

"Kami meningkatkan unjuran jualan/cabutan/outlet kasar NFO kami kepada 75% daripada 70% daripada FY23.

 

"Ramalan pendapatan sesaham  yang lebih tinggi sebanyak 10% setahun dan dividen sesaham sebanyak 13% kepada 9 sen," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menyemak naik penarafan Magnum kepada 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.25 sesaham. - DagangNews.com