Tidak boleh lepas tangan salahkan mangsa scammer, bank dikehendaki siasat penipuan - MOF | DagangNews Skip to main content

Tidak boleh lepas tangan salahkan mangsa scammer, bank dikehendaki siasat penipuan - MOF

KUALA LUMPUR 9 Julai - Bank bertanggungjawab menjalankan siasatan terperinci ke atas urus niaga perbankan yang tidak dibenarkan dan tidak boleh mengalihkan beban pula kepada mangsa penipuan scammer, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

 

Menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) di Dewan Rakyat, Lim berkata, bank tidak seharusnya menyalahkan pelanggan atas kerugian daripada penipuan perbankan dalam talian melainkan terdapat bukti jelas pelanggan gagal melindungi butiran keselamatan peribadinya.

 

"Setiap kes penipuan akan disiasat secara menyeluruh. Jika sesuatu kes berpunca daripada kelemahan sistem bank atau amalan pengurusan risiko, bank mesti menanggung kerugian tersebut," katanya.

 

 

"Bagaimanapun, jika terdapat bukti jelas bahawa kecuaian pelanggan menjejaskan butiran keselamatan, bank harus mempertimbangkan pampasan yang sesuai berdasarkan spesifik kes.

 

"Pertikaian mengenai keputusan atau pampasan boleh dibawa kepada Ombudsman untuk Perkhidmatan Kewangan (OFS)," katanya kepada Dewan Rakyat hari ini.

 

Terdahulu Chong Chieng Jen bertanya sama ada kerajaan bercadang meminda undang-undang supaya bank dipertanggungjawabkan untuk menanggung kerugian (sebahagian/semua) mangsa penipuan bank yang sering berlaku.

 

 

infiniti

 

 

Lim berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini mempertingkat dasar berhubung transaksi perbankan elektronik yang tidak dibenarkan.

 

Ini termasuk memastikan institusi kewangan menjalankan penyiasatan yang lebih teliti dan telus dalam tempoh masa yang munasabah, serta melaksanakan kawalan pencegahan yang lebih berkesan.

 

“Dengan penambahbaikan ini, sebarang pampasan harus mempertimbangkan keberkesanan kawalan keselamatan yang dilaksanakan oleh institusi kewangan dalam menangani penipuan kewangan.

 

"Dasar ini juga menjelaskan tanggungjawab pengguna dan bank dalam mengendalikan penipuan kewangan dalam talian," katanya.

 

Lim berkata dari 2020 hingga pertengahan 2023, industri perbankan menerima 18,238 aduan atau pertikaian, 11 peratus daripadanya berkaitan penipuan kewangan dan dibawa ke OFS, bermakna kira-kira 2,000 kes.

 

Daripada jumlah itu, beliau berkata 75 peratus telah diselesaikan.

 

Menjawab pertanyaan Chong mengenai penyerahan semula 10 kes pengeluaran wang tanpa kebenaran kepada Kementerian Kewangan pada Januari 2023, Lim berkata, "Boleh. Sila berikan kes tersebut kepada saya untuk tindakan selanjutnya." - DagangNews.com