Tidak mustahil Brent jatuh bawah AS$60 mulai Julai 2021 | DagangNews Skip to main content

Tidak mustahil Brent jatuh bawah AS$60 mulai Julai 2021

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 April - Penganalisis tidak menolak kemungkinan harga minyak mentah Brent yang kini ‘menikmati’ paras menghampiri AS$70 setong akan merudum di bawah AS$60 dalam tempoh Julai hingga Disember 2021, berdasarkan dinamik pasaran minyak semasa.

 

Penganalisis di Kenanga Research, Steven Chan percaya harga minyak mentah yang tinggi ketika ini mungkin berlegar mendahului asas permintaan dan bekalan bagi tempoh beberapa minggu lalu. 

 

Katanya, pandangan sama turut dikongsikan oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) yang menyatakan bahawa analisis menunjukkan bekalan tetap banyak, dan ‘kitaran super’ (super cycle) minyak mungkin tidak berlaku. 

 

“Inventori minyak di negara-negara membangun berjumlah 110 juta tong, melebihi paras tahun lalu setakat Januari, dan bersedia untuk dikeluarkan.

 

“Sementara itu, permintaan minyak dunia pula dijangka pulih kepada paras sebelum pandemik hanya pada tahun 2023. 

 

“Ekoran pemotongan output, penggunaan kapasiti pengeluaran Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) berada pada paras terendah. Sehubungan itu, kami percaya peningkatan pengeluaran daripada kesatuan itu dalam tahun ini tidak dinafikan akan menyebabkan reaksi ‘knee jerk’ ke atas harga minyak,” katanya dalam sebuah nota kajian hari ini. 

 

Bagaimanapun, Chan berkata, firmanya menyemak semula ramalan purata paras Brent mentah bagi 2021 kepada AS$60 daripada AS$50 setong. 

 

Semenatara itu, purata paras minyak mentah bagi 2022 pula diunjur AS$65 setong. 

 

Jelas Chan, walaupun Kenanga melihat terdapat risiko penurunan harga minyak, namun firmanya percaya harga Brent yang dalam julat AS$55 hingga AS$66 setong masih lagi sihat untuk mendorong paras aktiviti kembali normal secara beransur-ansur. 

 

“Di peringkat tempatan, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mendedahkan perbelanjaan modal sebanyak RM40 bilion hingga RM45 bilion setiap tahun bagi tempoh lima tahun akan datang. 

 

“Walaupun ini masih di bawah paras sebelum pandemik, namun kami melihat ia merupakan lonjakan sihat sebanyak 20% hingga 35% daripada tahun 2020. 

 

“Secara realistiknya, kami tidak menjangkakan aktiviti akan pulih semula kepada paras sebelum pandemik dalam masa terdekat, namun pemulihan beransur-ansur dalam kerja-kerja berkaitan cukup untuk mengekalkan kontraktor dan penyedia perkhidmatan menerima manfaat dan pastinya akan lebih daripada cukup untuk memastikan sebahagian besar syarikat tetap bertahan,” katanya lanjut.

 

Kenanga mengekalkan penarafan ‘neutral’, namun lebih optimis terhadap sektor itu berdasarkan paras aktiviti yang beransur-ansur pulih. - DagangNews.com