Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Julai - Sebanyak 188 tapak pembinaan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0 diarah tutup serta-merta.
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berkata, arahan tersebut dibuat menerusi pemeriksaan sebanyak 4,208 tapak pembinaan yang dijalankan di seluruh negara bermula 1 Jun hingga 5 Julai 2021.
Menurut CIDB, pemeriksaan tersebut dijalankan bagi memastikan pematuhan SOP yang ditetapkan dalam usaha membendung penularan pandemik COVID-19 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
"Daripada jumlah berkenaan sebanyak 810 (19%) tapak pembinaan didapati beroperasi, manakala sebanyak 3,398 (81%) tidak beroperasi.
"Daripada 810 tapak yang beroperasi didapati 188 tapak pembinaan (23%) tidak mematuhi SOP, manakala 622 (77%) tapak lagi mematuhi SOP.
"Kesemua 188 tapak pembinaan tidak mematuhi SOP berkenaan telah diarah tutup serta merta. Bagaimanapun, 42 daripada tapak pembinaan yang pernah diarah tutup telah pun dibenarkan dibuka semula, selepas mereka mematuhi SOP yang ditetapkan," jelas CIDB dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, CIDB memberitahu, 56 daripada tapak pembinaan yang diarah tutup terletak di Sarawak.
Selebihnya meliputi negeri Selangor (42), Melaka (15), Sabah (11), Pulau Pinang (11), Kuala Lumpur (11), Johor (9), Negeri Sembilan (8), Terengganu (6), Pahang (6), Perak (5), Kedah (3), Perlis (3) dan Kelantan (2).
Sementara itu, bagi 42 tapak pembinaan yang dibenarkan beroperasi semula, CIDB memberitahu, tapak pembinaan tersebut terletak di negeri Sarawak (12), Selangor (9), Melaka (7), Terengganu (4), Perak (3), Kuala Lumpur (2), Johor (2), Kedah (1), Kelantan (1) dan Sabah (1).
Penggiat industri pembinaan perlu mematuhi SOP PKP 3.0 yang terkini melalui pautan www.cidb.gov.my. - DagangNews.com