Tidak perlu undi percaya di Parlimen, tidak mahu PM bertukar lagi - Dr Mahathir | DagangNews Skip to main content

Tidak perlu undi percaya di Parlimen, tidak mahu PM bertukar lagi - Dr Mahathir

 

LANGKAWI 24 Ogos - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa gesaan sesetengah pihak bagi melaksanakan undi percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilakukan secepat mungkin di Parlimen, adalah sesuatu yang tidak wajar.

 

Menurutnya, ia akan memberi kesan kepada imej politik negara di mata dunia luar sekiranya terdapat keputusan luar jangkaan seperti Perdana Menteri tidak menerima sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat diperoleh selepas proses undi percaya terbabit.

 

"Saya tidak fikir (perlu dilaksanakan undi percaya kepada Perdana Menteri), kita tidak mahu ada pertukaran lagi sekali (bagi jawatan) Perdana Menteri.

 

"Jadi, kalau (bawa usul undi percaya) pergi ke Parlimen, (dan) dia (Datuk Seri Ismail Sabri) tak dapat majoriti, (kita) kena tukar lain (Perdana Menteri)... jadi dunia sedang ketawakan (negara kita).

 

''Kita tidak ada (perancangan) nak bagi jatuh (kerajaan ini)," kata Ahli Parlimen Langkawi tersebut.

 

Dalam perkembangan berasingan, beliau yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu menyatakan bahawa pihaknya mengambil keputusan untuk melihat dahulu nama-nama individu yang dipilih menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) serta Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 sebelum membuat pertimbangan sama ada mahu menyertainya ataupun tidak.

 

Dr Mahathir turut menyifatkan pengenalan nama "Keluarga Malaysia" tidak akan memberikan makna yang signifikan sekiranya tiada sifat sayangkan negara wujud dalam diri pemimpin atau rakyat di negara ini.

 

"Kita nak, orang (atau pemimpin) yang betul-betul sayang kepada negara, boleh tunjuk (melalui) cara (atau tindakan) dia, kalau panggil nama (lain dan) tukar (banyak kali) sekalipun (tetapi) masih buat kerja macam (kerajaan lama), itu tak (memberikan kesan) berguna," ujarnya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi sempena Program #PulangKeLangkawi pada Selasa, menurut laporan AstroAwani.

 

Pada Isnin, Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah menggesa undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob segera dilakukan di Parlimen. - DagangNews.com