Tidak perlu uniform, memadai berpakaian kemas dan sopan - Radzi | DagangNews Skip to main content

Tidak perlu uniform, memadai berpakaian kemas dan sopan - Radzi

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Nov - Pihak sekolah diingatkan untuk memberi kelonggaran kepada pelajar yang hadir untuk tidak memakai pakaian seragam sebaliknya memadai dengan berpakaian kemas dan sopan.

 

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, perkara itu sekali lagi dinyatakan selepas terdapat rungutan daripada ibu bapa mengenai segelintir guru yang menetapkan syarat untuk pelajar mengenakan pakaian seragam lengkap.

 

“Apabila sekolah mula dibuka mengikut ketetapan fasa di beberapa buah negeri seperti di Klang, Melaka, kami dapat aduan daripada ibu bapa yang menyatakan ada sekolah meminta supaya anak-anak memakai uniform sekolah walaupun ada uniform ketat, kasut dah ketat.

 

"Jadi saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa kementerian sebelum ini telah nyatakan bahawa untuk tempoh sehingga akhir persekolahan tahun ini, kita benarkan murid-murid memakai pakaian yang bersesuaian serta sopan dan kemas, itu paling penting,” katanya.

 

Radzi berkata, pihak sekolah seharusnya memudahkan urusan kehadiran pelajar berikutan kekangan yang dihadapi ibu bapa susulan pembukaan sekolah pada waktu pandemik COVID-19 terutamanya daripada golongan susah.

 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata semua sekolah di negeri yang akan memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara harus memberi perhatian khusus terhadap aspek pengudaraan termasuk di dalam bilik guru.

 

"Pengudaraan itu perlu diberi perhatian khusus. Awal dulu ramai agak keliru tetapi akhir ini hampir semua pihak dapat memahami bahawa kepentingan untuk kita pastikan pengudaraan di sekolah berlaku pada tahap paling optimum.

 

"Bilik darjah nampak dah selesai cuma di bilik guru, kadang-kadang bilik guru yang menggunakan penghawa dingin sebagai contoh sebaiknya diusahakan supaya ada pengudaraan, dibuka tingkap bagi membolehkan keadaan yang lebih selamat bagi guru-guru," katanya.

 

Mengulas mengenai perkembangan  pengambilan guru secara 'one-off' bagi menyelesaikan masalah kekurangan guru, Radzi berkata  Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) telah selesai melengkapkan pemilihan guru bagi fasa 1.

 

Radzi berkata, kriteria pemilihan awal itu adalah berlandaskan calon yang bakal mengajar subjek-subjek penting di sekolah serta mereka yang mempunyai latar belakang dalam pengajian pendidikan.

 

“Fasa 1 telah dipilih dan kita tidak ikut berapa ramai, kita berpandukan pada susunan subjek. Subjek mana pergi dulu serta keutamaan kepada graduan pendidikan.

 

“Setelah keutamaan ini tercapai, baru kita lihat graduan yang tidak ada latar belakang pendidik, kerana itu kita buat secara berperingkat. Ada fasa yang hanya memerlukan ratusan tenaga pengajar namun ada fasa perlukan beribu, justeru kita perlu lihat keperluan subjek dalam fasa tersebut,” katanya.-DagangNews.com