Tiga pelantar jalani penyelenggaraan, Kenanga Research unjur Velesto catat hasil lebih rendah pada 2HFY24 | DagangNews Skip to main content

Tiga pelantar jalani penyelenggaraan, Kenanga Research unjur Velesto catat hasil lebih rendah pada 2HFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Sept - Kenanga Research mengunjurkan Velesto Energy Bhd mencatatkan hasil yang lemah pada 2HFY24 disebabkan tiga pelantarnya dijadualkan menjalani penyelenggaran.

 

Katanya, pada masa ini, kesemua enam pelantar sedang digunakan, tetapi Naga 3 telah menjalani tinjauan berkala khas (SPS) untuk 3QFY24, diikuti oleh Naga 5 dan Naga 6 yang bermula pada pertengahan 3QFY24.

 

Firma penyelidikan itu berkata, melangkah ke FY25, empat daripada enam pelantarnya akan tersedia untuk bekerja sepanjang tahun, kecuali Naga 3 dan Naga 8, yang akan menjalani SPS pada 1QFY25 dan pertengahan 4QFY25.

 

"Berdasarkan semakan saluran kami, aktiviti penerokaan menyumbang 30% daripada jumlah aktiviti penggerudian.

 

"Kebimbangan baru-baru ini mengenai Petros mengambil alih daripada Petronas sebagai aggregator gas di Sarawak mungkin menjejaskan penggerudian penerokaan di negeri itu.

 

"Bagaimanapun, kami percaya, permintaan keseluruhan pelantar akan kekal stabil pada FY25, disokong permintaan daripada Indonesia, Vietnam, dan mungkin pengendali lain di Sarawak," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu melonjak kepada RM62.81 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24), daripada RM17.4 juta pada 2QFY23. 

 

Hasil meningkat kumpulan itu juga meningkat 40.86% kepada RM393.43 juta daripada RM279.32 juta.

 

Kemajuan yang lebih tinggi untuk projek penyiapan penggerudian pelantar bersepadu (i-RDC) Velesto di bawah perniagaan pengurusan projek bersepadunya pada suku dalam tinjauan juga menyumbang kepada prestasi suku tahunan yang lebih kukuh.

 

Firma penyelidikan menyemak turun unjuran pendapatan FY25 sebanyak 13% selepas mengambil kira andaian penggunaan pelantar yang lebih rendah dan mengambil kira aktiviti cari gali yang lemah daripada Petronas di Sarawak.

 

"Kami menngekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) 30 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com