TikTok pilihan terbaik lonjak pasaran PKS menjelang Ramadan | DagangNews Skip to main content

TikTok pilihan terbaik lonjak pasaran PKS menjelang Ramadan

 TikTok pilihan terbaik lonjak pasaran PKS menjelang Ramadan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 11 Mac. - Aplikasi video pendek yang kian terkenal, TikTok terus mencipta kedudukan tersendiri sebagai medium pilihan yang terbaik dalam membantu perubahan landskap pengguna dan melonjakkan pemasaran produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjelang Ramadan nanti.

 

Kelebihan tersebut dinilai kepada prestasi yang ditonjolkan aplikasi berkenaan bagi tempoh Ramadan tahun lalu.

 

Pengurus Pemasaran Komunikasi Asia Tenggara TikTok, Imran Khan berkata, setelah hampir setahun masyarakat menyesuaikan diri dengan norma hidup baharu, orang ramai tetap dan terus memilih pembelian secara dalam talian bagi meraikan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

 

Imran Khan
Imran Khan 

 

"Ketika musim Ramadan tahun lepas, penglibatan pengguna dalam TikTok secara purata meningkat sebanyak 12.5%, dengan 52% daripada pengguna mengatakan mereka telah mempelajari tentang produk baharu melalui iklan video jenama di TikTok.

 

"Apa yang menarik ialah 61% daripada pengguna TikTok merasakan bahawa pengiklanan melalui platform tersebut adalah unik, manakala 67% setuju bahawa TikTok telah membantu mereka mendapatkan idea tentang jenama/produk yang mereka tidak pernah terfikir sebelum ini.

 

“Kami melihat penglibatan pengguna adalah pada tahap yang tinggi di TikTok,” katanya dalam sesi taklimat maya hari ini.

 

Trend membeli-belah secara dalam talian ketika Ramadan di negara ini mula berubah apabila 28% daripada pengguna memilih untuk membuat pembelian secara dalam talian, sementara 23% membuat pembelian yang lebih banyak dalam satu-satu masa.

 

Lebih menarik, hampir 3.5 bilion minit masa yang diluangkan oleh pengguna di aplikasi membeli-belah pada bulan Ramadan.

 

Mengulas lanjut, beliau menambah, 90% daripada pengguna TikTok pernah melihat paparan iklan dalam aplikasi berkenaan dan 56% daripada mereka turut membuat carian maklumat yang lebih lanjut berkaitan iklan berkenaan.

 

Dalam pada itu, penglibatan pengguna meningkat sebanyak 43% bagi jenama yang terlibat dalam pengiklanan, 33% yang lain pula turut berkongsi maklumat berkaitan jenama dan produk yang dilihat kepada kenalan mereka yang lain.

 

Ujarnya, perkara tersebut secara tidak langsung membuktikan bahawa iklan-iklan yang dipaparkan memberi impak yang besar kepada komuniti TikTok.

 

.

 

Dalam pada itu, 92.3% daripada pengguna TikTok tidak memerlukan skrin kedua atau kemudahan pengiklanan lain untuk membuat pilihan pembelian.

 

"Perkara ini memberi peluang kepada pelbagai jenama untuk berhubung dengan penonton dengan lebih dekat.

 

"Ini lebih memudahkan kerana iklan-iklan yang menghiburkan dapat dilihat dengan lebih kerap dan ketara di TikTok yang memberi kandungan yang berguna, tulen, menghiburkan dan memberi didikan," katanya lagi.

 

Aplikasi TikTok sesuai untuk pelbagai jenis jenama dan pasaran khususnya PKS yang mewakili lebih daripada 98% perniagaan di negara ini.

 

Imran memberitahu, dengan 'TikTok for Business', jenama besar dan kecil diberi peluang untuk meneroka dan berhubung dengan komuniti umum di sekeliling mereka. 

 

"Mereka akan mendapati bahawa ianya akan menjadi lebih mudah untuk berhubung secara selamat, positif dan mendalam dengan komuniti Tiktok," tambahnya. - DagangNews.com