Timbalan Presiden UMNO seru MT, MP sokong Zahid jadi PM | DagangNews Skip to main content

Timbalan Presiden UMNO seru MT, MP sokong Zahid jadi PM

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Majlis Tertinggi (MT) dan Ahli Parlimen (MP) UMNO perlu bersatu dan berhenti berbalah bagi mengelakkan kemelut dalaman parti semakin teruk jika mahu memastikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri (PM) baharu.

 

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa supaya semua mematuhi ketetapan yang diputuskan semasa Mesyuarat MT pada 3 Ogos lalu yang diumumkan Presiden bagi menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

“Barisan kepimpinan Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan menyokong penuh ketetapan yang telah diputuskan oleh Majlis Tertinggi yang bersidang pada 3 Ogos,” kata Mohamad yang juga Pengerusi Perhubungan Negeri Sembilan dalam satu kenyataan, lapor Agenda Daily.

 

Mohamad berkata, Ahli MT dan MP yang dilihat berbeza pendapat perlu setia dan patuh kepada arahan parti kerana Zahid adalah calon PM yang perlu disokong, ia memandangkan secara tradisinya Presiden adalah calon PM bagi UMNO.


 
“Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan menggesa agar hubungan di antara Ahli MT dan MP UMNO mestilah diharmonikan demi kepentingan parti dan negara,” katanya lagi.

 

Gesaan tersebut dibuat susulan terdapat dua kumpulan dalam UMNO, satu kem bersama Zahid dan satu kem lagi bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

 

Terdahulu, Agenda Daily melaporkan terdapat gerakan daripada agen Zahid yang sedang melobi Zahid diangkat menjadi PM dan beberapa MP PN yang terdiri daripada GPS, PAS dan Bersatu yang sudah dihubungi bagi memujuk untuk menyokong Presiden UMNO itu.

 

Perkara itu tidak mengejutkan apabila Zahid dalam surat akuan yang diutuskan kepada Yang di-Pertuan Agong bersama-sama beberapa MP UMNO yang sekapal dengannya tidak menamakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PM, ia walaupun terdapat pakatan sulit antara cikgu dengan anak muridnya itu.

 

Menurut sumber, agen kepada Zahid sudah menghubungi MP daripada GPS, PAS dan Bersatu yang cuba memujuk mereka supaya menyokong beliau, ia memandangkan sudah terdapat 13 MP UMNO yang dikatakan sudah bersama-sama dengannya ketika ini menerusi pendedahan surat akuan yang disiarkan dalam media sosial semalam.

 

Gerakan menjatuhkan kerajaan PN dilihat semakin giat dijalankan mutakhir ini kerana Zahid bakal berhadapan perbicaraan di mahkamah pada 24 Ogos nanti.

 

Pada masa ini UMNO hanya mempunyai 38 kerusi Parlimen. Beliau memerlukan sokongan daripada parti-parti lain dalam PN untuk menubuhkan kerajaan baharu yang akan dipayungi UMNO.

 

Menurut sumber dalaman UMNO, kem Zahid sedang giat memujuk MP PN untuk menyokong beliau sebagai PM menjelang sidang Parlimen yang akan dibuka pada September ini.

 

Walau bagaimanapun, perancangan Zahid untuk mendapatkan sokongan majoriti dengan sokongan daripada MP PN dilihat sukar dicapai.

 

Muhyiddin difahamkan dikatakan bertegas dengan pendirian Bersatu untuk tidak bersekongkol dengan ‘kluster mahkamah’. - DagangNews.com