KUALA LUMPUR 22 Nov - TIME dotCom Bhd. bercadang untuk melupuskan 49% saham biasa dan 100% saham-saham keutamaan boleh tukar tidak boleh tebus dalam syarikat milik penuhnya AIMS Data Centre Holding Sdn. Bhd. (AIMS), yang menjalankan aktiviti perniagaan pusat data di Malaysia dan Singapura.
Ini mendorongnya bekerjasama dengan ahli gabungan firma pelaburan global, DigitalBridge Group Inc untuk mempercepatkan pengembangan perniagaan pusat data AIMS Groupnya di seluruh Asia.
Di bawah kerjasama strategik itu, TIME juga akan melupuskan 21% saham biasa dalam anak syarikat 51% miliknya, AIMS Data Center (Thailand) Ltd (AIMS TH), yang mempunyai pusat data di Thailand.
Pada akhir urus niaga, kumpulan TIME akan mempunyai 30% kepentingan dalam AIMS TH dan DigitalBridge 70%.
Sebagai sebahagian daripada cadangan urus niaga berkenaan, AIMS dan AIMS TH secara kolektif bernilai RM3.2 bilion berdasarkan 100% nilai perusahaan, kira-kira 37.3 kali pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.
Ini berbanding nilai buku semasanya sebanyak RM240 juta dan mewakili keuntungan yang ketara sejak TIME pertama kali memperoleh AIMS pada 2012 dengan harga RM119 juta.
Dalam kenyataan hari ini, Ketua Komander TIME, Afzal Abdul Rahim berkata, kerjasama strategik itu membolehkan kumpulan membuat penilaian yang besar daripada pelaburan dalam AIMS selama ini.
Katanya, hasil daripada transaksi kira-kira RM2 bilion sebahagiannya akan digunakan untuk membayar dividen khas sehingga RM1 bilion kepada pemegang saham, dan bakinya akan dilaburkan semula ke dalam kumpulan untuk meningkatkan lagi nilai pemegang saham.
"Kami percaya DigitalBridge adalah rakan kerjasama yang tepat kerana mereka komited untuk membina warisan AIMS dan memanfaatkan kekuatannya.
"Malah, kami melihat ini sebagai kerjasama sebenar yang akan membolehkan kami memanfaatkan pengalaman global mereka dalam pasaran lain," katanya.
Urus niaga yang dicadangkan itu dijangka selesai pada akhir suku kedua 2023, tertakluk kepada syarat-syarat tertentu terdahulu (termasuk kelulusan pemegang saham Time) yang dipenuhi. -DagangNews.com