Tindakan boikot McDonald’s dan KFC, pendapatan Malayan Flour terjejas - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Tindakan boikot McDonald’s dan KFC, pendapatan Malayan Flour terjejas - AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Dis - Hasil pendapatan Malayan Flour Mills Berhad terjejas kesan tindakan orang ramai memboikot restoran makanan segera McDonald’s dan KFC yang merupakan pelanggan kepada syarikat itu.

 

AmInvestment Bank Research berkata, hasil jualan kumpulan itu bagi sektor makanan segera menyusut sebanyak 6.3% pada suku ketiga 2023.

 

"Pada masa ini, permintaan ayam adalah lebih rendah antara 30% hingga 40% daripada paras biasa berbanding penyusutan 60% semasa boikot berada pada paras tertinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu susut kepada RM27.4 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) berbanding RM47.4 juta pada tahun sebelumnya.

 

Jualan tepung dan bijirin menjana keuntungan operasi sebanyak RM37juta pada suku ketiga berbanding RM40.5 juta pada tahun lalu.

 

Keuntungan operasi dagangan tepung dan bijirin merosot sebanyak 8.6% pada suku krtiga tahun ini disebabkan oleh margin caruman yang lebih rendah daripada harga jualan yang lebih rendah ditambah pula dengan kelemahan ringgit dalam tukaran mata wang asing yang sebahagiannya diimbangi peningkatan dalam jumlah jualan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pemulihan dalam pendapatan tepung Malayan Flour dijangka berterusan sehingga suku keempat tahun ini berikutan kos gandum yang lebih rendah. Permintaan untuk produk tepung juga telah bertambah baik di Vietnam.

 

Katanya, jumlah jualan produk tepung kumpulan itu meningkat 10.4% di Malaysia dan 2.4% di Vietnam pada 9MFY23. 


"Di Vietnam, jumlah jualan meningkat semula sebanyak 11.9% pada 3QFY23 sebelum ini permintaan menjunam pada 1HFY23 disebabkan oleh kos gandum yang lebih tinggi pada FY22.

 

"Malayan Flour merancang untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran kilang tepungnya di Lumut kepada 600 tan sehari. Pembesaran itu dijangka menelan belanja RM30 juta dan mula beroperasi pada akhir FY24," katanya.

 

AmInvestment mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) 80 sen sesaham. - DagangNews.com