KUALA LUMPUR 11 April - Tindakan memanggil balik Duta Besar Malaysia ke UAE, Datuk Mohd. Tarid Sufian dan Konsul Janeral Malaysia di Dubai, Mohd Hasril Abdul Hamid bukan sesuatu luar biasa dan dibuat melalui perundingan dengan pihak-pihak yang berkenaan, termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Ia diambil bagi menjaga kepentingan hubungan bilateral di antara Malaysia dan negara-negara berkenaan, di samping bagi memastikan kompetensi dan kepentingan perkhidmatan awam.
Kementeria Luar dalam satu kenyataan berkata, tindakan tersebut diambil selepas kedua-dua Ketua Perwakilan tersebut gagal menyelaras urusan pentadbiran dan logistik bagi lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berdasarkan Prosedur Operasi Tetap (SOP) bagi lawatan peringkat tinggi negara di luar negara khususnya semasa ketibaan Perdana Menteri pada 29 Mac 2022.
Katanya, kegagalan itu termasuk Perdana Menteri terpaksa menunggu lama di runag ketibaan biasa bagi urusan pelepasan pasport oleh Imigresen Dubai selain liputan dan kawalan keselamatan serta pergerakan motoked yang seharusnya disediakan seperti amalan SOP biasa juga tiada.
"Lazimnya, dalam apa keadaan sekalipun, seperti ketika Perdana Menteri menghadiri Perhimpunan Agung PBB di New York, walaupun kerajaan tuan rumah tidak dapat menyediakan taraf tetamu, namun Ketua Perwakilan Malaysia tetap menyediakan liputan dan kawalan keselamatan serta motoked yang mengikuti SOP untuk Perdana Menteri.
"Kedua-dua pegawai tersebut juga gagal memaklumkan kepada Kementerian Luar di Putrajaya mengenai penganjuran WGS ((World Government Summit) yang diadakan dalam Kawasan Ekspo Dubai dan hanya mengetahui tentang perkara itu pada 30 Mac 2022 menerusi sumber lain.
"Sekiranya pimpinan tertinggi Kementerian Luar dimaklumkan lebih awal mengenainya, pasti usaha telah dibuat supaya Perdana Menteri menyampaikan ucapan di program tersebut," katanya.
Terdahulu Perdana Menyeri telah mengadakan lawatan ke Dubai pada 29-31 Mac 2022 bersempena Ekspo 2020 Dubai dan semasa lawatan itu, beliau telah menghadiri Majlis Penutup Pavilion Malaysia dan Majlis Apresiasi bagi Pegawai dan Staf Pavilion Malaysia di Ekspo berkenaan.
Semasa lawatan itu, Perdana Menteri juga menghadiri Majlis Penutup Sidang Kemuncak WGS pada 30 Mac 2022 dan pada masa sama mengadakan perjumpaan dengan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE yang juga Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum.
Dalam pada itu, Kementerian Luar berkata, masalah itu tidak akan berlaku sekiranya pelarasan dibuat lebih awal kerana Kerajaan UAE telah menyediakan semua kemudahan kepada Perdana Menteri selaku Ketua Kerajaan sehingga ke akhir lawatan itu.
"Semasa majlis perlepasan pulang Perdana Menteri dari Dubai, Kerajaan UAE telah mengaturkan static guards of honour di Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum dan mereka diwakili Menteri Negara bagi Kecerdasan Buatan (AI) dan Ekonomi Digital UAE, Omar Sultan Al Olama.
"Semasa di lapangan terbang, Omar menyampaikan undangan Kerajaan UAE kepada Perdana Menteri untuk menyampaikan Ucap Utama di WGS tahun 2023 dan beliau telah menyatakan persetujuannya untuk menerima undangan tersebut," katanya. - DagangNews.com