Tindakan pantas Kerajaan Malaysia, SMART bantu mangsa gempa bumi Turkiye dipuji - Ismail Sabri | DagangNews Skip to main content

Tindakan pantas Kerajaan Malaysia, SMART bantu mangsa gempa bumi Turkiye dipuji - Ismail Sabri

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Feb - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memuji tindakan pantas Kerajaan Malaysia dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang menghantar seramai 75 anggota untuk membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi yang melanda wilayah selatan Turkiye dan utara Syria.

 

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera menerusi hantaran di Facebooknya berkata, usaha tersebut adalah bukti hubungan baik di antara kedua-dua negara.

 

Katanya, beliau amat berdukacita dengan kejadian gempa bumi yang telah meragut ribuan nyawa di negara terbabit.

 

"Doa dan harapan saya agar kesemua mangsa dapat diselamatkan dan semoga bantuan yang diberikan oleh seluruh negara dapat meringankan beban pasukan penyelamat Turkiye. 

 

"Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana mendapat laporan 12 rakyat Malaysia yang berada di sana terselamat.

 

"Saya juga berharap agar keluarga mangsa yang terlibat terus cekal dan tabah dalam menghadapi dugaan ini. Salam takziah kepada kerajaan serta rakyat Turkiye dan Syria," katanya.

 

Terdahulu, media melaporkan sekurang-kurangnya 2,379 orang terbunuh dan 14,483 yang lain cedera di 10 wilayah Turkiye berikutan dua gempa bumi kuat yang menggegarkan bahagian selatan negara itu pada Isnin.

 

 

smart

 

 

pakmail
                                           Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

Gempa dengan magnitud 7.7 itu melanda daerah Pazarcik di wilayah Kahramanmaras dan menggegarkan beberapa wilayah lain termasuk Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakir, Adana, Adıyaman, Malatya, Osmaniye, Hatay dan Kilis pada awal pagi Isnin. - DagangNews.com