KUALA LUMPUR 7 Nov - Kerugian bersih teras Lotte Chemical Titan Holdings Bhd diunjur meningkat kepada RM856 juta pada FY24 kesan daripada kadar operasi rendah serta kadar tukaran mata wang asing yang rendah.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, harga input nafta (berdasarkan Indeks Nafta Jepun) susut sedikit sebanyak 3% dari pertengahan Ogos hingga awal Nov 2024 apabila harga minyak kembali normal sepanjang tempoh yang sama.
Bagaimanapun, bagi suku keempat, harga polimer agak mendatar dan firma penyelidikan itu berpendapat, kumpulan itu akan mencatatkan kerugian besar pada 4QFY24.
"Kami merasakan kumpulan itu tidak akan mencatatkan sebarang keuntungan dalam masa terdekat memandangkan harga HDPE-nafta masih jauh di bawah julat AS$350/bagi setiap tan katika ini," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerugian bersih Lotte Chemical pada 3QFY24 meningkat kepada RM245.3 juta kesan jualan rendah, penurunan nilai inventori
Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih teras 3QFY24 sebanyak RM224 juta membawa kerugian bersih teras kumulatif 9MFY24 kepada RM626 juta.
Ia disebabkan kerugian tukaran mata wang asing sebanyak RM38.6 juta, RM300,000 bagi hapus kira inventori, RM1.2 juta bagi PPE dihapuskan, keuntungan RM1.1 juta daripada pelupusan PPE, pembalikan elaun ke atas penghutang perdagangan sebanyak RM1.8 juta dan RM9.8 juta inventori diturunkan kepada NRV.
Firma penyelidikan itu berkata, kerugian itu adalah lebih besar daripada ramalan kerugian bersih teras FY24 mereka, disebabkan kerugian syarikat bersekutu yang lebih besar daripada jangkaan kerana 40% syarikat bersekutunya LC USA sedang menjalani penyelenggaraan terancang untuk kilangnya.
"Kami mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) 91 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com