Tindakan Pengerusi MPN minta laporan Menteri Kewangan tidak salah | DagangNews Skip to main content

Tindakan Pengerusi MPN minta laporan Menteri Kewangan tidak salah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Feb - Tindakan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta laporan daripada Menteri Kewangan,  Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz adalah tidak menyalahi mana-mana peraturan.

 

Bekas Ketua Setiausaha Sulit bekas Perdana Menteri Kelapan, Datuk Dr. Marzuki Mohamad berkata, Muhyiddin adalah Pengerusi MPN bertaraf menteri dan Tengku Zafrul adalah merupakan Menteri Penyelaras MPN.

 

Beliau berkata, selain melapor kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Tengku Zafrul juga bertanggungjawab melapor secara terus kepada Pengerusi MPN.

 

"Jadi tidak salah Pengerusi MPN minta laporan daripada Menteri Kewangan dan tidak salah Menteri Kewangan beri laporan kepada Pengerusi MPN. Malah, wajib Menteri Kewangan beri laporan apabila diminta. Tidak boleh bantah. 

 

"Sebagai Pengerusi MPN bertaraf menteri, Muhyiddin juga boleh mengumumkan kepada rakyat apa jua laporan yang dikemukakan oleh mana-mana menteri atau kementerian, atau apa-apa butir perbincangan dalam mana-mana mesyuarat MPN dan apabila sudah diumumkan ia tidak lagi menjadi rahsia.

 

"Kedudukan fiskal negara adalah antara perkara yang dibincangkan di peringkat MPN. Ia sebahagian penting daripada aspek pemulihan negara yang mesti diberikan perhatian oleh kerajaan dan mesti diketahui oleh rakyat. Jadi apa sebab nak buat laporan polis?," katanya menerusi laman Facebook, hari ini.

 

BACA JUGA: Kementerian Kewangan fokus kepada pemulihan negara, tidak sembunyikan apa-apa

 

Terdahulu, pemuda UMNO Bahagian Parit Sulong membuat laporan polis bagi mendesak siasatan terhadap Muhyiddin dilakukan berhubung kenyataannya mengenai situasi kewangan negara. 

 

Ketua pergerakan itu, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, maklumat kewangan negara adalah berkaitan maklumat sulit yang dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

 

Beliau berkata, Muhyiddin bukan seorang daripada menteri Kabinet atau Perdana Menteri yang masih berkuat kuasa atau individu yang berhak dibekalkan dengan mana-mana maklumat sulit negara. - DagangNews.com