Oleh ZUNAIDAH ZANON
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Jan. - Kerajaan hanya akan membenarkan 30% pekerja dalam kumpulan pengurusan berada di pejabat sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Bagi pekerja di dalam kumpulan sokongan, jumlah pekerja yang diperlukan pada satu-satu masa akan ditentukan oleh majikan masing-masing.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin berkata, jumlah pekerja yang ditentukan mestilah mengambil kira pematuhan ketat SOP yang ditetapkan.
"Jangan sampai tiada penjarakan fizikal langsung sewaktu berada di tempat kerja.
"Mana-mana majikan yang melanggar SOP dan menyebabkan berlakunya penularan jangkitan COVID-19 di tempat kerja, tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang termasuk menutup premis berkenaan," katanya dalam perutusan khas petang ini
Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memperincikan jenis-jenis perkhidmatan yang disenaraikan sebagai essential economic sector.
"MITI dan Kementerian Kerja Raya juga akan memperincikan butiran kerja-kerja pembinaan yang dibenarkan beroperasi," katanya.
Bagi sektor atau perkhidmatan yang tidak disenaraikan sebagai essential services, arahan bekerja dari rumah atau work from home akan berkuatkuasa.
Semua majikan mesti mematuhi arahan ini untuk mengurangkan pergerakan di dalam komuniti, terutamanya di kawasan yang berkepadatan tinggi.
"Hanya dengan langkah ini, kita dapat mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 di tempat kerja," katanya. - DagangNews.com