BEBERAPA laporan membabitkan keselamatan kanak-kanak yang disiarkan dalam media sejak kebelakangan ini cukup membimbangkan kerana mendedahkan kepincangan anggota masyarakat dalam soal menjaga dan melindungi tahap keselamatan kanak-kanak di negara kita.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 1,464 kes gangguan seksual dalam talian melibatkan kanak-kanak dan remaja berusia 18 tahun dan ke bawah sepanjang tahun lalu berbanding hanya 1,273 kes pada tahun 2021.
Trend jenayah tersebut cukup membimbangkan apabila dalam tempoh lima tahun, iaitu 2018 hingga 2022 sebanyak 5,727 kes jenayah seksual yang berpunca daripada media sosial membabitkan mangsa bawah 18 tahun direkodkan PDRM. Ini menunjukkan secara purata sehari tiga kanak-kanak atau remaja menjadi mangsa pelaku gila seks dalam talian.
Pelaku dilaporkan mencari dan menjerat mangsa menerusi pelbagai aplikasi media sosial seperti WhatsApp, WeChat, Instagram, Facebook, MiChat, OMi, Lilmatch dan PUBG.
Platform media sosial seperti ini digunakan sebagai medium perkenalan sebelum pelaku mengambil kesempatan dan melakukan pelbagai kesalahan seksual sama ada secara langsung ataupun melalui penyebaran bahan penderaan seksual kanak-kanak termasuk kesalahan sextortion. Persoalannya, kenapa ibu bapa tidak memantau aktiviti dalam talian anak-anak?
Dalam satu lagi laporan pula didedahkan ibu kandung menjadi pelaku tertinggi daripada 220 kes penderaan kanak-kanak hingga maut yang direkodkan PDRM bagi tempoh lima tahun sejak 2018.
Menurut pihak polis, ibu kandung penyumbang tertinggi dengan 67 kes kanak-kanak maut akibat didera wanita yang melahirkan mangsa, ini diikuti bapa kandung, bapa tiri dan ahli keluarga lain.
Apa yang cukup membimbangkan ialah, daripada 220 kes tersebut, 133 kes kematian kanak-kanak dikaitkan dengan ahli keluarga iaitu kombinasi ibu bapa kandung dan ibu bapa tiri dan ahli keluarga mangsa yang lain. Persoalannya, kenapa ibu bapa sanggup mendera darah daging sendiri?
Selain itu kes kanak-kanak mati lemas juga dilaporkan semakin meningkat, misalnya baru-baru ini empat kes kematian akibat lemas membabitkan kanak-kanak berlaku di Ipoh akibat ditinggalkan ibu bapa atau penjaga tanpa pengawasan sepatutnya.
Laporan-laporan seperti ini menunjukkan tahap keselamatan kanak-kanak di negara kita semakin membimbangkan. Ibu bapa dan ahli keluarga yang sepatutnya menjadi pelindung mereka didapati bukan saja cuai dan gagal melaksanakan tanggungjawab dengan amanah, malah ada yang menjadi pelaku utama sehingga menjadi punca kepada musibah yang menimpa kanak-kanak.
Jelas sekali institusi keluarga kita sangat rapuh dan gagal berfungsi dengan baik. Ini juga menunjukkan tahap kesedaran dalam kalangan ibu bapa sangat rendah sehingga leka dan mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak.
Misalnya, tahap pemantauan yang lemah menyebabkan anak-anak ketagih dengan media sosial sehingga menjadi mangsa gangguan seksual dalam talian. Kita gagal memberi tumpuan dan kasih sayang yang sepatutnya sehingga anak-anak ini mudah terpengaruh dengan pelaku yang bijak mengambil kesempatan.
Jadi ibu bapa dan ahli keluarga perlu lebih bertanggungjawab dan perlu sentiasa menjaga serta melindungi keselamatan anak-anak. Bagi kes gangguan seksual dalam talian misalnya, pastikan kita sentiasa memantau aktiviti anak-anak ketika menggunakan gajet dan media sosial.
Alasan ingin memberi kebebasan tidak boleh digunakan sebagai asas hingga akhirnya mengundang pelbagai ancaman dan risiko kepada keselamatan anak kita.
Walau sesibuk mana sekalipun jangan leka dan cuai untuk memberikan perhatian dan kasih sayang yang sewajarnya kepada anak-anak sehingga mereka terpaksa mencari kasih sayang ‘palsu’ dalam talian. Ingat, sesal dulu ada pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
Di samping itu ibu bapa juga perlu mendidik dan membimbing anak-anak tentang cara penggunaan internet khususnya media sosial secara berhemah, berhati-hati dan bijak agar tidak menjadi mangsa keadaan.
Jangan kita sekadar membelikan gajet dan menyediakan perkhidmatan internet semata-mata tanpa mengajar mereka cara penggunaan yang betul.
Ini penting kerana bukan sepanjang masa kita mampu memantau apa yang berlaku ketika anak-anak berhubungan dengan rakan dalam talian, justeru ilmu dan kemahiran penggunaan internet yang betul akan membantu melindungi keselamatan anak-anak sepanjang masa.
Kes penderaan membabitkan ibu bapa adalah antara tragedi malang yang tidak boleh diterima dan tak logik dek akal kerana mereka adalah darah daging kita. Maka timbul persoalan bagaimana seorang ibu yang melahirkan anak tersebut mahupun bapa yang sepatutnya menjadi pelindung boleh mendera sehingga mendatangkan pelbagai kecederaan, malah ada yang maut.
Ini menunjukkan tahap kesedaran terhadap tanggungjawab keibubapaan dalam kalangan anggota masyarakat masih lemah dan perlu ditingkatkan. Walaupun pelbagai alasan diberikan namun hakikatnya perbuatan mendera kanak-kanak tidak boleh dikompromi langsung. Anak-anak akan berhadapan dengan kesan emosi dan fizikal yang serius sepanjang hayat mereka.
Dalam konteks ini, ilmu dan kemahiran keibubapaan serta sikap dan tingkah laku ibu bapa perlu diperbaiki dan dipertingkatkan. Ironinya bukan mudah menjadi ibu bapa yang dapat menjaga dan melindungi keselamatan anak serta mendidik, membimbing dan membesarkan mereka. Semuanya memerlukan ilmu dan kemahiran serta sikap yang betul supaya dapat memikul tanggungjawab tersebut dengan baik.
Bagi menangani masalah penderaan kanak-kanak membabitkan ibu bapa serta kes keganasan rumahtangga yang semakin bertambah adalah dicadangkan silibus dan modul kursus pra perkahwinan yang sedia ada disemak dan ditambah baik mengikut keperluan semasa.
Elemen jenayah dan keganasan rumahtangga termasuk aspek perbuatan jenayah terhadap anak-anak perlu diterapkan sebagai panduan kepada bakal ibu bapa agar mereka dilengkapkan ilmu dan kemahiran untuk menjadi ibu bapa yang bertanggungjawab.
Hakikatnya kecuaian orang dewasa khususnya ibu bapa dilihat menjadi antara faktor utama yang meletakkan kanak-kanak dalam pelbagai situasi risiko yang berbahaya termasuklah kes mati lemas.
Justeru semua pihak perlu memandang serius dan memainkan peranan yang sewajarnya supaya kita dapat mengelak kanak-kanak negara ini terus menjadi mangsa keadaan angkara kecuaian dan kelalaian orang dewasa.
Walaupun mana-mana individu yang cuai boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) namun menjatuhkan hukuman semata-mata tidak menyelesaikan masalah ini, sebaliknya perlu ada elemen kesedaran yang tinggi selain ilmu dan kemahiran yang mencukupi untuk memikul tanggungjawab menjaga dan melindungi keselamatan serta kebajikan kanak-kanak. – DagangNews.com
NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED adalah penganalisis isu semasa, merangkap pentadbir di Universiti Putra Malaysia