Tinjauan eksport Malaysia 2022 positif - Moody's | DagangNews Skip to main content

Tinjauan eksport Malaysia 2022 positif - Moody's

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 3 Jan - Tinjauan sektor eksport Malaysia dijangka positif pada 2022, dengan perdagangan bersedia untuk membawa negara kembali kepada pertumbuhan pra-pandemik pada pertengahan tahun.

 

Bagaimanapun, menurut Moody's Analytics, varian Omicron dan cuaca ekstrem mungkin menimbulkan risiko kepada rantaian bekalan.

 

"Perjalanan vaksinasi antara Singapura dan Malaysia telah pun dihentikan sementara dan pembukaan semula perjalanan antarabangsa kemungkinan besar akan ditangguhkan," katanya dalam laporan Pratonton Ekonomi Asia Pasifiknya untuk minggu 3-7 Januari.

 

Moody's berkata, walaupun sekatan yang meluas tidak mungkin dilaksanakan kembali, banyak pihak akan bergantung pada keberkesanan vaksin terhadap varian baharu ini. 

 

"Untuk rekod, angka dagangan November Malaysia meningkat, dengan eksport melonjak 32.4% tahun ke tahun (yoy), diikuti peningkatan 25.5% pada Oktober. 

 

"Imbangan perdagangan, bagaimanapun, mengecil kepada RM18.9 bilion pada November daripada rekod Oktober sebanyak RM26.2 bilion, terutamanya disebabkan peningkatan 38%  dalam import apabila keadaan domestik bertambah baik di tengah-tengah kelonggaran sekatan COVID-19. 

 

"Eksport elektronik dan produk petroleum memacu pertumbuhan. Eksport elektronik dan barangan berkaitan kekal teguh, berikutan kekurangan global semikonduktor terus meningkatkan permintaan tenaga.  Kekurangan cip dijangka berterusan pada 2022, menyokong sektor pembuatan Malaysia," katanya.

 

Sementara itu, agensi penarafan itu berkata, eksport minyak mentah negara berkemungkinan mengalami ketidaktentuan dalam beberapa bulan akan datang kerana ekonomi global berdepan dengan peningkatan sekatan perjalanan berikutan rundingan sasaran pengeluaran Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+) dan varian Omicorn. 

 

Bagi eksport minyak sawit, tanaman itu menyaksikan eksport melonjak 90% setiap tahun, didorong oleh peningkatan dalam nilai dan jumlah. 

 

"Bagaimanapun, banjir kilat pada Disember 2021 dan kekurangan pekerja asing berkemungkinan akan menyekat bekalan dalam beberapa bulan akan datang, dan China, pengguna utama minyak sawit, juga menghadapi penutupan kilang di bandar-bandar utama kerana ia menjalankan dasar sifar COVID yang ketat," katanya. -DagangNews.com