Tinjauan: PKS kekal positif terhadap prospek perniagaan pada 2024 | DagangNews Skip to main content

Tinjauan: PKS kekal positif terhadap prospek perniagaan pada 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Feb - Walaupun terdapat kebimbangan mengenai hasil, peningkatan kos serta aliran tunai namun Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kekal yakin terhadap prospek mereka dan pada masa sama mengunjurkan ekonomi Malaysia akan terus berkembang positif pada 2024.

 

Perkara itu adalah sebahagian daripada penemuan dalam Laporan Sentimen PKS Malaysia 2024 yang dijalankan Employment Hero, berdasarkan input daripada sampel 500 PKS tempatan.

 

Berdasarkan tinjauan itu, purata 79% PKS yakin tentang prospek pertumbuhan pada tahun ini terutamanya bagi segmen perniagaan sederhana, dengan 50% agak yakin dan 33% sangat yakin.

 

Pengarah Urusan Employment Hero Asia, Kevin Fitzgerald berkata, syarikat bersaiz sederhana lebih optimis terhadap potensi pasaran untuk pertumbuhan dan merasakan ekonomi berada dalam keadaan yang jauh lebih baik berbanding beberapa tahun sebelum ini.

 

Inisiatif kerajaan seperti Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), terutamanya dari segi pendigitalan, Fitzgerald berkata, PKS berasa lebih diberi kuasa untuk menyampaikan dan melaksanakan apa yang perlu bagi memacu pendapatan.

 

pks

 

Bagi perniagaan mikro dan kecil, tinjauan mendapati, perniagaan berkemungkinan kurang yakin tentang prospek pertumbuhan mereka, dengan 22% berasa kurang yakin dan 3% langsung tidak yakin.

 

Ia dipercayai disebabkan oleh banyak risiko yang perlu dihadapi oleh perusahaan mikro dan kecil, terutamanya dari segi mempunyai bilangan pekerja yang jauh lebih kecil serta pendapatan yang lebih kecil untuk diambil.

 

Bagaimanapun, tinjauan itu mendapati masih terdapat tahap keyakinan yang sihat dalam kalangan perniagaan mikro dan kecil untuk prospek mereka pada 2024.

 

"Saya fikir ini adalah tahun di mana PKS benar-benar boleh menguasai sesuatu dan ekonomi dan mula memacu pertumbuhan dalam perniagaan mereka," kata Fitzgerald.

 

Bagi unjuran PKS untuk prestasi ekonomi Malaysia, purata 50% PKS berasa yakin bahawa negara akan mencapai prestasi yang baik pada tahun ini dan walaupun 18% lebih berhati-hati, dipercayai bahawa perniagaan mengambil masa melihat perjalanan tahun itu.

 

pks

 

Kedua-dua perniagaan mikro dan kecil serta perusahaan bersaiz sederhana mengunjurkan prestasi ekonomi yang baik untuk tahun tersebut.

 

Dengan 62% menjangkakan prestasi baik dalam kalangan perniagaan bersaiz sederhana, adalah dipercayai bahawa perniagaan ini melihat peluang dalam kedua-dua pasaran tempatan dan antarabangsa.

Fitzgerald berkata, PKS kini lebih fokus kepada pasaran tempatan berikutan peningkatan dalam perbelanjaan pengguna berbanding tahun-tahun sebelumnya.

 

Bagi perniagaan mikro dan kecil, 39% daripada responden meramalkan prestasi yang baik untuk ekonomi Malaysia pada 2024, diikuti oleh prestasi purata dan prestasi lemah masing-masing pada 37% dan 24%.

 

Employment Hero percaya bahawa PKS adalah penyumbang penting kepada ekonomi Malaysia, terutamanya memandangkan ia merupakan sebahagian besar perniagaan di negara ini.

 

pks

 

Ia juga tidak mengejutkan bahawa 32% daripada responden mendapati potensi dalam automasi, kecerdasan buatan (IoT) dan transformasi digital, memandangkan teknologi itu sebenarnya akan memainkan peranan penting dalam operasi korporat pada tahun-tahun akan datang.

 

Fitzgerald berkata, daripada penemuan itu, majoriti PKS telah mencapai kesimpulan tentang kepentingan penggunaan alat teknologi serta memanfaatkan pendigitalan.

 

"Pendigitalan bukan sahaja tentang membeli sistem, ia mengenai memanfaatkan sistem, meningkatkan kemahiran menggunakan sistem dan mencari maklumat baharu tentang perniagaan anda yang mungkin belum anda ketahui," tambahnya.

 

Bercakap mengenai peningkatan kos dan inflasi, Fitzgerald berkata, ia bukan hanya cabaran kepada PKS tetapi seluruh negara terutama dari segi kos barangan dan perkhidmatan. 

 

"PKS berada di tempat yang lebih kukuh dalam memahami perkara yang boleh mereka lakukan, terutamanya dengan menggunakan alat dan orang yang betul dalam perniagaan bagi menyampaikan maklumat serta membuat keputusan yang tepat mengenai langkah seterusnya," katanya. - DagangNews.com