SETELAH 20 tahun dioperasikan, khidmat helikopter Super Lynx 300 milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan berakhir apabila keputusan untuk menggantikannya telah dibuat.
Dalam perancangan, TLDM akan menghentikan penggunaan Super Lynx secara berperingkat-peringkat apabila helikopter pengganti diterima tiga tahun lagi.
Rancangan untuk menggantikan Super Lynx diumumkan Panglima TLDM, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob dalam temuramah bersama media.
Perolehan ini dilihat relevan bagi melengkapi program kapal tempur pesisir (LCS) yang dijangka diterima pada 2026.
TLDM kini mengendalikan empat daripada enam pesawat tersebut untuk operasi peranan maritim bagi menyokong keperluan operasi dan latihan armada.
Dua pesawat lagi diletakkan di bawah Penyimpanan Jangka Panjang (LTS) disebabkan tiada sokongan keperluan logistik pesawat.
Helikopter Super Lynx 300 diputuskan sebagai aset TLDM apabila MINDEF mengumumkan pemilihan model itu pada September 1999.
Pesawat buatan AgustaWestland (kini Leonardo) dari United Kingdom sesuai untuk tugas rondaan maritim, antikapal selam (ASW), antipermukaan dan operasi mencari menyelamat.
Helikopter Super Lynx TLDM dilengkapi dengan selaras mesingan berat, empat unit peluru berpandu antikapal Sea Skua dan dua unit torpedo ringan A-244S Mod 1.
Super Lynx boleh beroperasi dari dua frigat kelas Lekiu yang merupakan kapal perang tercanggih masa itu.
Perolehan helikopter maritim berteknologi tinggi ini telah menggandakan keupayaan armada TLDM apabila menjadi angkatan laut yang disegani di rantau Asia Tenggara.
Ini kerana Super Lynx bukanlah helikopter biasa, sebaliknya ia cukup berbisa dalam era peperangan konvensional maritim pada dekad tersebut.
Lima buah helikopter pertama dihantar kepada TLDM pada tahun 2003 dengan yang terakhir setahun kemudian.
Malaysia merupakan negara pertama yang menggunakan Super Lynx model Siri 300 ini yang merupakan versi termoden dalam keluarga Lynx.
Negara pengguna lain ialah Afrika Selatan sebanyak empat buah, Oman (16) dan Thailand (dua).
Sebagai pengguna Super Lynx, TLDM juga telah mencipta rekod tersendiri apabila Skuadron 501 TLDM mencapai 10,000 jam penerbangan dan menerima pengiktirafan pada Ogos 2018.
Tambah membanggakan apabila rekod ini dicapai dengan sifar kemalangan sepanjang 15 tahun digunakan.
Ia turut membabitkan pelbagai operasi seperti Ops Fajar di Teluk Aden, Somalia Ops Daulat (Sabah), operasi mencari pesawat MH370 serta mematahkan cubaan rampasan kapal MV Nautica di Laut China Selatan dekat Johor Bahru.
Sebenarnya, hasrat TLDM untuk mendapatkan helikopter baharu ASW telah pun direncanakan sejak 15 tahun lalu dengan mengambil kira keperluan pemodenan masa hadapan.
TLDM pada 2008 telah pun merancang untuk mendapatkan enam helikopter baharu Super Lynx sebagai tambahan kepada jumlah sedia ada.
Ketika itu ia merupakan senarai keutamaan, dengan perancangan untuk perolehan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015).
Helikopter ASW adalah keutamaan yang lebih tinggi daripada pesawat peronda maritim atau aset udara lain.
TLDM ketika itu menggariskan keperluan enam buah pesawat untuk beroperasi dengan kapal selam Scorpene yang baharu diterima.
Antara model pesawat yang diintai termasuk AgustaWestland Super Lynx, Kaman SH-2 Seasprite, Kamov Ka-28, NH90 dan Sikorsky SH-60 Seahawk.
Sebelum ini dikatakan terdapat tawaran dari firma AgustaWestland untuk mengambil kesemua Super Lynx Mk-300 TLDM dan digantikan dengan Future Lynx (kini dikenali sebagai AW159 Lynx Wildcat)
Tawaran juga diberikan firma pertahanan Eropah, MBDA untuk menjual peluru berpandu antikapal Sea Venom bagi menggantikan Sea Skua.
Pada tahun 2018, firma Leonardo telah hadir untuk mempertontonkan keupayaan helikopter AW159 di Pangkalan TLDM Lumut dan kemudahan helikopter Leonardo di Subang, Selangor.
AW159 Lynx Wildcat meneruskan legasi kehebatan Super Lynx sebagai helikopter tempur maritim yang terbaik dalam kelasnya.
Ketika ini tentera United Kingdom mengendalikan 62 buah AW159 Lynx Wildcat dalam kedua-dua peranan laut dan darat manakala Tentera Laut Republik Korea mengendalikan lapan buah helikopter.
Di rantau ini, Filipina merupakan pengguna tunggal apabila mengoperasikan dua buah AW159 yang diterima tiga tahun lalu.
Memilih AW159 Lynx Wildcat sebagai pengganti Super Lynx sudah pasti menjadi keputusan bijak TLDM berdasarkan pengalaman serta rekod operasi helikopter tersebut. - DagangNews.com