TLDM perlukan kapal perang moden awasi Laut China Selatan, harus diberi fokus pada Belanjawan 2025 | DagangNews Skip to main content

TLDM perlukan kapal perang moden awasi Laut China Selatan, harus diberi fokus pada Belanjawan 2025

Hanya pada 2027 TLDM bakal menerima kapal LMS buatan Turkiye bagi memperkasakan pertahanan maritim.
FOKUS BERITA oleh ZAKI SALLEH

Isu pencerobohan kapal asing dalam perairan negara di Laut China Selatan terus menarik perhatian rakyat yang mahukan kerajaan memberi perhatian serius tentang isu pemodenan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Kapal-kapal asing seperti pasukan pengawal pantai China dan kapal penyelidik negara itu kerap dikesan mendekati perairan negara di situ.

 

Terbaru ialah situasi pada 7 September lalu apabila kapal perang China dilihat memasuki perairan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dekat wilayah maritim Sarawak.

 

 

 

Kapal frigat tentera China dan Pengawal Pantai China (CCG) dilaporkan berlegar di perairan EEZ Malaysia, berdekatan pelantar minyak di Sarawak. 

 

Kapal

 

Kapal
Kapal penyelidik China.

 

Pengarah SeaLight.live, Raymond Powell dalam hantaran di media sosial mendakwa kapal frigat ringan 053H3 kelas Jiangwei itu kali terakhir dikesan berada di Terumbu Ubi selepas Automatic Information System (AIS) dimatikan menyebabkan kedudukan kapal itu tidak lagi dapat dipastikan.

 

Berdasarkan semakan, kapal frigat kelas Jiangwei milik China ini merupakan sebuah kapal perang moden yang dilengkapi sistem peluru berpandu antikapal, pertahanan udara dan torpedo.

 

Walaupun negara memberikan respons dengan mengerahkan kapal-kapal peronda tentera laut dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk pengawasan di Laut China Selatan tetapi kekuatan yang kita ada tidak setanding.

 

Ini kerana kapal-kapal yang dikerahkan seperti KD Selangor, KD Sundang dan KM Arau adalah kapal peronda yang hanya bersenjatakan meriam.

 

Kapal
Frigat kelas Jiangwei milik China.

 

Pesawat
Titik Sembilan Garis Putus atau 'Nine Dash Line' yang dituntut China di Laut China Selatan.
 

 

KD Selangor dilengkapi meriam 76 milimeter (mm) Oto Melara dan 30mm Breda-Mauser, KD Sundang (meriam 30mm) manakala KM Arau bersenjatakan mesingan berat.

 

Situasi serupa pernah berlaku pada Jun 2021 apabila penerbangan mencurigakan 16 pesawat tentera udara China dikesan di ruang udara Zon Maritim Malaysia di Kota Kinabalu, Sabah.

 

Pesawat-pesawat ini terbang menghampiri 60 batu nautika daripada pantai Wilayah Sarawak serta mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara.

 

Pesawat-pesawat jenis llyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20 merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi.

 

Kapal
KD Jebat frigat TLDM yang berusia 24 tahun.

 

Kapal

 

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kemudian mengerahkan pesawat-pesawat Hawk 206 dari Pangkalan Udara Labuan untuk memintas sehingga kesemua pesawat meninggalkan ruang angkasa negara.

 

Panglima TUDM ketika itu, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad dipetik berkata, insiden pesawat tentera udara China masuk ruang udara negara merupakan perkara serius kepada ancaman kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan.

 

Disebabkan ketiadaan aset, Hawk 206 yang bukan pesawat pemintas dikerah untuk membayangi pesawat-pesawat China.

 

Sepatutnya tugas ini dilakukan pesawat lebih berupaya, MiG-29N misalnya adalah pesawat pemintas tetapi tidak diganti setelah ditamatkan.

 

Pesawat
Pesawat Hawk TUDM menunggu masa untuk diganti dengan pesawat lebih moden.

 

Seperti TLDM, TUDM juga berdepan dilemma apabila terpaksa menangguhkan rancangan mendapatkan pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) sehingga tahun 2035.

 

Justeru, berita terbaru tentang pencerobohan kapal perang China ini gempar dan mendapat perhatian rakyat khususnya di media sosial.

 

Menerusi komen-komen yang diberikan, rakyat mahukan kerajaan memberi perhatian terhadap keperluan memodenkan aset-aset ketenteraan khususnya TLDM untuk mengawal perairan negara.

 

Tidak seperti pencerobohan di perairan Filipina, kapal-kapal pengawal pantai China telah banyak kali melakukan provokasi sehingga pada kejadian melanggar kapal pengawal pantai Filipina selain insiden menyembur meriam air.

 

Kapal
China merupakan kuasa maritim dunia yang sedang pantas membangun.

 

Insiden seperti ini bagaimana pun tidak pernah berlaku di perairan Malaysia.

 

Berdasarkan situasi itu boleh difahamkan bahawa kehadiran China di perairan negara hanya untuk mempamerkan kekuatan, namun ini tidak boleh dipandang sebelah mata.

 

Sebab itu, isu agar kerajaan memberikan perhatian terhadap pemodenan aset-aset ATM khususnya TLDM adalah kritikal kerana perkara itu berjalan perlahan.

 

Pembaharuan aset tentera perlu dilakukan segera dengan membentangkan peruntukan yang relevan kepada Kementerian Pertahanan dalam Belanjawan 2025 akan datang.

 

Kerajaan memperuntukkan RM19.7 bilion untuk Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam Belanjawan 2024 manakala RM17.74 bilion tahun sebelumnya.

 

Kapal
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semasa melawat projek pembinaan LCS di Lumut.

 

Kapal

 

Walaupun angka tersebut menunjukkan peningkatan kira-kira 11.21 peratus tetapi realitinya kuasa membeli Mindef kecil.

 

Sekiranya aspek ini masih tidak diberi perhatian, negara terpaksa akur untuk berdepan dengan isu pencerobohan asing di Laut China Selatan dengan kekuatan yang ada.

 

Tanpa penggantian kapal-kapal moden sejak 20 tahun lalu, TLDM masih bergantung kepada khidmat kapal perang yang berusia lebih 40 tahun dengan teknologi ketinggalan.

 

Hanya pada 2026 kapal pertama LCS, KD Maharaja Lela dijangka siap setelah bertahun-tahun berdepan kelewatan diikuti jangkaan LCS kedua setahun kemudian.

 

Kapal

 

Pada tahun 2027 pula kapal LMS pertama dari Turkiye akan diterima disusuli dua buah lagi pada 2028.

 

Tentang dua kapal pesisir pantai (OPV) APMM yang masih lewat dibina pula, sehingga kini tiada perkembangan lanjut mengenainya.

 

Kapal-kapal ini bersama KM Tun Fatimah yang telah siap sepatutnya diterima bagi melaksanakan rondaan di perairan Laut China Selatan. - DagangNews.com