KUALA LUMPUR 15 Sept - Hubungan sedia terjalin antara tentera laut Malaysia dan Singapura diperkasakan lagi menerusi pelaksanaan Eksesais Malapura melibatkan perairan kedua-dua negara.
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Laut Singapura (RSN) mula melaksanakan Eksesais Malapura sejak 1984 sebagai latihan dua hala.
Ini membuktikan sikap profesionalisme, interoperabiliti serta hubungan pertahanan diplomatik yang sangat teguh antara kedua-dua negara.
Aset TLDM yang terlibat ialah frigat KD Lekiu, korvet KD Lekir dan sebuah pesawat Super Lynx.
Eksesais ini juga melibatkan dua buah Fast Combat Boat (FCB) dan dua buah pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai aset sokongan.
RSN menyertakan sebuah frigat kelas Formidable, RSS Steadfast; korvet kelas Victory, RSS Valiant serta sebuah pesawat S-70B Seahawk Naval Helicopter (NH).
Pelaksanaan eksesais pada kali ini menjurus pada tiga fasa iaitu fasa pelabuhan di Tambatan Pangkalan Lumut, fasa laut di perairan Selat Melaka dan penutup di Pangkalan Pelabuhan Changi, Singapura.
Berkonsepkan Field Training Exercise (FTX), ia memfokuskan kepada penilaian dalam pelaksanaan operasi maritim meliputi aspek peperangan asimetrik dan konvensional.
Selain itu, aspek keupayaan gabungan aset TLDM dan RSN sebagai satu pasukan besar juga turut diuji.
Antara siri latihan yang dilaksanakan merangkumi antiserangan udara, penembakan sasaran permukaan, manuvra taktikal dan pengoperasian bot bagi menguji keupayaan kedua-dua angkatan laut.
RSN dan TLDM berinteraksi secara kerap merentasi pelbagai aktiviti, termasuk pertukaran dua hala dan latihan silang menerusi Pengaturan Pertahanan Lima Kuasa dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM)/ADMM-Plus.
Kedua-dua tentera laut itu juga bekerjasama untuk memperkukuh keselamatan maritim melalui rondaan Selat Melaka. - DagangNews.com