TLDM terima empat buah bot pemintas FIC G2000 Mk II buatan Gading Marine | DagangNews Skip to main content

TLDM terima empat buah bot pemintas FIC G2000 Mk II buatan Gading Marine

Bot FIC G2000 Mk II buatan Gading Marine.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 2 Feb - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima penyerahan empat buah bot pemintas laju (FIC) G2000 Mk II yang dibina Syarikat Gading Marine Industry Sdn. Bhd. (Gading Marine).

 

Penyerahan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah itu disaksikan Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.

 

Pengarah Urusan Gading Marine, Dato' Ir Jamalolail Mohd Yatim menyerahkan aset berkenaan kepada Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob.

 

Pembelian empat buah FIC G2000 Mk II fasa pertama ini telah dibina sepenuhnya di fasiliti limbungan Gading Marine di Kampung Acheh, Sitiawan, Perak.

 

FIC
Mohamed Khaled diberi penerangan tentang platform RCWS pada bot FIC.

 

Ia berjaya disempurnakan dalam tempoh 16 bulan. 

 

Perolehan FIC G2000 Mk II ini melibatkan tiga fasa dengan jumlah keseluruhan sebanyak 13 buah FIC akan diterima secara berperingkat-peringkat.

 

Pada Februari 2021, TLDM telah menerima 6 buah FIC G2000 Mk I yang mana aset ini dibina Gading Marine melalui Projek Perolehan Operasi Benteng (Op Benteng). 

 

Berbanding FIC terdahulu, FIC G2000 Mk II ini dilengkapi dengan Remote Control Weapon Station (RCWS) Escribano yang dipadankan dengan mesingan CANiK M2 Quick Change Barrel (QCB) 12.7mm.

 

FIC G2000 Mk II dengan panjang 18 meter ini dilengkapi enjin yang lebih berkuasa dan berkemampuan untuk mencapai kelajuan sehingga 52 knot. 

 

FIC

 

Selain itu, susun atur dalaman FIC G2000 Mk II ini juga telah ditambah baik bagi memberikan lebih keselesaan kepada kru ketika melaksanakan operasi.

 

Aset-aset ini terbukti efektif digunakan dalam membendung dan menyekat kegiatan jenayah rentas sempadan termasuklah mengekang pencerobohan pendatang asing.

 

Empat buah FIC G2000 Mk II yang diterima kini ditempatkan di Markas Wilayah Laut 2, Sandakan bagi memperkasakan tahap keselamatan maritim perairan Sabah Timur. - DagangNews.com