TM diiktiraf Anugerah Khas Kincentric Ketahanan COVID Malaysia 2020  | DagangNews Skip to main content

TM diiktiraf Anugerah Khas Kincentric Ketahanan COVID Malaysia 2020 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Dis. - Telekom Malaysia Berhad (TM) baru-baru ini telah dianugerahkan dengan Anugerah Khas Kincentric Ketahanan COVID Malaysia (Special Kincentric COVID Resilience Award Malaysia) di Majlis Anugerah dan Persidangan Pembelajaran Majikan Terbaik Malaysia 2020 Kincentric yang telah dianjurkan secara maya. 

 

Naib Presiden, Perniagaan Sokongan, TM merangkap Pengerusi Pasukan Tindak Balas Krisis (CRT) COVID-19 TM, Badrul Hisham Ahmad telah menerima anugerah tersebut secara maya bagi pihak syarikat. 

 

Mengulas mengenai pencapaian berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, TM akan terus mengambil langkah-langkah proaktif bagi membendung penularan COVID-19 untuk keselamatan anggota, pelanggan dan pihak-pihak berkepentingannya.

 

“Kami dengan rendah diri dan berbesar hati menerima anugerah yang bermakna ini bagi mewakili kesemua warga TM. Dalam tempoh yang mencabar ini, dedikasi dan komitmen mereka bagi melayani para pelanggan kami dan seluruh negara dengan perkhidmatan sambungan yang penting tidak dapat disangkal lagi. 

 

“Kami kekal komited untuk membantu Malaysia membina semula ekonomi menerusi sambungan dan penyelesaian-penyelesaian digital. Semoga kita akan kembali teguh bersama,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

Anugerah-anugerah khas itu mengiktiraf syarikat-syarikat yang telah secara aktif menguruskan pengalaman kakitangan dalam menyelesaikan krisis COVID-19 dengan pantas; terutamanya mereka yang terlibat dengan fungsi-fungsi kritikal bagi memastikan kesinambungan dan pemulihan perniagaan. 

 

Kriteria penghakiman adalah berdasarkan tema-tema utama iaitu kepimpinan atasan/komunikasi, keberkesanan bekerja secara maya, keprihatinan dan penglibatan dalam kebajikan kakitangan, disokong oleh amalan-amalan modal insan. 

 

Program Majikan Terbaik Kincentric memberi penghargaan dan pendedahan kepada organisasi-organisasi atas kualiti jenama majikan – memberi kelebihan bagi bakat-bakat dalam pasaran. 

 

Dengan pengalaman selama 20 tahun dalam pengalaman kakitangan, program itu mengukur dan membezakan para majikan menerusi empat faktor modal insan yang merupakan kunci utama kejayaan.

 

Ini termasuk tahap penglibatan kakitangan yang tinggi, ketangkasan, kepimpinan yang interaktif dan pemfokusan bakat. 

 

Pada tahun ini, Kincentric telah memperkenalkan Anugerah Ketahanan COVID khas bagi mengiktiraf organisasi-organisasi yang menyerlah dan menyokong kakitangan mereka sepenuhnya dalam menguruskan impak-impak emosi, sosial dan ekonomi utama susulan pandemik ini. 

 

Anugerah itu memperlihatkan bagaimana pengalaman kakitangan yang bagus menyerlahkan kemampuan sesebuah perniagaan untuk bertahan dan maju ke hadapan, terutamanya pada saat-saat kritikal.  - DagangNews.com