TM lancar ibu pejabat, kampus baharu di Cyberjaya | DagangNews Skip to main content

TM lancar ibu pejabat, kampus baharu di Cyberjaya

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Mei - Dalam melengkapkan lagi perjalanan transformasinya ke arah menjadi sebuah syarikat teknologi berteraskan insan, TM melancarkan ibu pejabat dan kampus baharunya sempena sambutan acara Hari Raya bersama anggotanya.

 

Terletak di Cyberjaya, Kampus TM merupakan satu lagi pencapaian penting TM kerana ia melambangkan komitmen syarikat untuk mewujudkan ruang inovatif yang memacu ketangkasan, fleksibiliti dan kecekapan melalui kerjasama digital dan persekitaran kerja hibrid. 

 

TM dalam kenyataan berkata, pihaknya bersedia untuk memacu produktiviti yang lebih tinggi sambil menyemai rasa bangga dalam kalangan warga TM melalui persekitaran kerja memberangsangkan dan polisi hibrid tiga hari bekerja di pejabat dan dua hari bekerja dari mana-mana sahaja.

 

"Kampus ini bukan sahaja menempatkan Ibu Pejabat TM yang baharu, tetapi juga Hab Inovasi TM, Pusat Perisikan Rangkaian TM dan Pusat Data Teras TM. 

 

"Ia juga menyediakan ruang pejabat terbuka, infrastruktur teknologi dan alatan digital, serta kawasan khusus untuk kolaborasi, memperkasakan anggota untuk menyampaikan penyelesaian inovatif kepada pelanggan. 

 

"Selain itu, ia menampilkan reka bentuk mesra alam yang mampan dengan ruang hijau dan pencahayaan semula jadi untuk mewujudkan suasana ruang kerja yang sihat dan memberi inspirasi yang boleh dibanggakan anggota," katanya.

 

Terdahulu, kampus TM dilancarkan secara rasmi hari ini oleh Ketua Pegawai Eksekutif kumpulannya, Datuk Imri Mokhtar sambil disaksikan pengurusan kanan dan warga TM.

 

 

tm
                                                                                   Datuk Imri Mokhtar

 

 

Imri berkata, pihaknya amat teruja untuk melancarkan kampus baharu itu kerana ia mengukuhkan komitmen mereka untuk memacu inovasi dalam kalangan anggota, pelanggan dan rakan usaha sama.

 

"Kampus ini menampilkan konsep ruang terbuka, dilengkapi dengan infrastruktur teknologi canggih untuk memudahkan warga TM mencipta bersama, platform digital dan penyelesaian pintar.

 

"Kami sedang mengubah cara kami bekerja dan kampus ini akan menjadi pemangkinnya. Dilengkapi dengan penggunaan pelbagai teknologi dan alatan digital seperti automasi proses robotik (RPA), kecerdasan buatan (AI), analitik dan alat kerja jarak jauh, yang dapat menampilkan hasil kerja terbaik anggota kami, sambil pada masa sama meningkatkan kesejahteraan mereka," katanya.

 

 

tm

 

 

Katanya, untuk menyokong evolusi ini, TM menyediakan pelbagai platform pembelajaran atas permintaan dan peluang latihan teknologi sebagai pelengkap komitmennya terhadap inovasi berteraskan insan. 

 

"Dengan semangat kerjasama dan pertukaran idea bersama, kami akan terus memajukan diri untuk manfaat pelanggan dan pihak berkepentingan lain," katanya. - DagangNews.com