KUALA LUMPUR 14 Mei - Telekom Malaysia Bhd telah menandatangani perjanjian dengan Kementerian Dalam Negeri berkaitan dua kontrak bernilai RM120.5 juta, pada Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024 dan Keselamatan Negara (Natsec) Asia 2024 baru-baru ini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, TM berkata kontrak itu diberikan kepada unit milik penuhnya TM Technology Services Sdn Bhd.
"Kontrak-kontrak ini adalah dalam urusan biasa perniagaan TM, dan tidak penting kepada Kumpulan TM," tambah kumpulan itu.
Kontrak pertama, kata kumpulan itu, ialah lanjutan enam bulan bernilai RM71 juta daripada kontrak tiga tahun awal yang bermula pada 2021.
Kumpulan itu berkata ia menerima surat anugerah untuk lanjutan pada 27 Mac untuk perkhidmatan sambungan rangkaian terurus.
Sementara itu, kontrak kedua bernilai RM49.5 juta diterima TM pada 5 Sept 2022 untuk menguruskan perkhidmatan ICT untuk tempoh dua tahun sehingga akhir 2024.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail Rabu lalu mengumumkan kementeriannya telah menandatangani 14 kontrak bernilai RM2.156 bilion dengan beberapa agensi kerajaan dan syarikat tempatan sempena pameran DSA dan Natsec Asia 2024.
Antara agensi itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Turut disebut ialah tiga syarikat iaitu TM, TM Technology dan Labuan Shipyard Engineering Sdn Bhd.
Saham dalam TM ditutup tidak berubah pada RM6.17 pada Isnin, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran RM23.68 bilion. - DagangNews.com