TM ONE meterai MoU pacu transformasi digital Bank Islam | DagangNews Skip to main content

TM ONE meterai MoU pacu transformasi digital Bank Islam

 (Dari kiri) Naib Presiden (Jualan) TM ONE, Mohd. Roslan Mohd. Rashidi; Ketua Pegawai Eksekutif TM ONE, Ahmad Taufek Omar; Ketua Pegawai Operasi Bank Islam, Mohamed Iran Moriff Mohd. Shariff dan Ketua Pegawai Teknologi Bank Islam, Zainal Azlan Zainuddin dalam majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua syarikat.

(Dari kiri) Naib Presiden (Jualan) TM ONE, Mohd. Roslan Mohd. Rashidi; Ketua Pegawai Eksekutif TM ONE, Ahmad Taufek Omar; Ketua Pegawai Operasi Bank Islam, Mohamed Iran Moriff Mohd. Shariff dan Ketua Pegawai Teknologi Bank Islam, Zainal Azlan Zainuddin dalam majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua syarikat.
 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Telekom Malaysia Berhad (TM) menerusi cabang penyelesaian perniagaan perusahaan dan sektor awamnya, TM ONE menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam).

 

MoU tersebut bertujuan untuk melantik TM ONE sebagai rakan digital pilihan dalam merealisasikan transformasi strategi digital Bank Islam.

 

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif TM ONE, Ahmad Taufek Omar berkata,  pihaknya amat berbesar hati kerana diberi peluang untuk berkongsi kepakaran digital dengan Bank Islam.

 

"Kami sedia maklum bahawa transformasi digital, keselamatan dan perlindungan data merupakan keutamaan penting, terutamanya kepada sektor perbankan. 

 

"Dengan termeterainya perjanjian ini, kami boleh menawarkan Bank Islam dengan penyelesaian dan infrastruktur digital yang terkini dan selamat untuk menyokong perjalanan transformasinya. 

 

"Penyelesaian seperti awan, keselamatan siber dan analitik data raya bakal memacu pengotimuman proses, membolehkan saluran campuran (omni-channel) dan agenda pengewangan (monetisation) data, ke arah pengotimuman kos dan peningkatan produktiviti," jelas beliau dalam satu kenyataan bersama Bank Islam hari ini.

 

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Operasi Bank Islam, Mohamed Iran Moriff Mohd. Shariff dan Ahmad Taufek Omar bagi pihak TM ONE.

 

.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, pihaknya sedang mengambil langkah mendapatkan kemajuan teknologi terkini dalam memudahkan pengurusan hal ehwal institusi dengan pihak-pihak berkepentingan.

 

"Kerjasama dengan syarikat telekomunikasi bersepadu terkemuka di Malaysia seperti TM bakal melengkapi usaha Bank untuk sentiasa mempertingkatkan fungsi dan perkhidmatan yang kami tawarkan kepada para pelanggan, justeru memenuhi keperluan dan jangkaan pasaran. 

 

"Usaha ini akan memacu pertumbuhan Bank dan industri perbankan Islam secara keseluruhannya," ujarnya.

 

Beliau menambah, kerjasama tersebut juga akan menggerakkan infrastruktur teras yang akan menyokong tonggak strategik utama Bank Islam iaitu Kemakmuran yang Mampan, Budaya Berasaskan Nilai, Pemerkasaan Masyarakat, Tumpuan ke atas Pelanggan dan Ekonomi Sebenar dalam membolehkan Bank Islam terus mara di masa hadapan.

 

Kerjasama antara kedua-dua pihak itu disasarkan kepada meneroka lanjut peranan TM ONE sebagai penyedia penyelesaian digital utama untuk Bank Islam bagi infrastruktur digital antaranya pusat data dan perkhidmatan Cloud α (Alpha), serta analitik data raya dan penyelesaian keselamatan siber. 

 

Penyelesaian tersebut akan memperkukuh infrastruktur IT Bank Islam dan Pusat Pengalaman Digital (CDX) produk perbankan digital, dengan membenarkan pengalaman pembelian yang baharu melangkaui pendekatan perbankan tradisional. - DagangNews.com