KUALA LUMPUR 7 Dis - Unit penyelesaian perniagaan perusahaan dan sektor awam Telekom Malaysia Berhad, TM One memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Ramsay Sime Darby Health Care (RSDH) bagi kerjasama Penjagaan Kesihatan Pintar dan penyelesaian perniagaan lain untuk kumpulan itu.
Ia bertujuan membolehkan transformasi inovatif untuk perkhidmatan penting kepada pesakit dan kerjasama berkenaan adalah yang pertama di Malaysia untuk memanfaatkan penyelesaian Smart Patient Suite daripada TM One melalui kebolehan Internet Kebendaan (IoT) untuk menyediakan automasi.
Naib Presiden Eksekutif TM One, Shazurawati Abd Karim berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan RSDH bagi membawa kemajuan penjagaan kesihatan Malaysia dan digital untuk semua.
"Smart Patient Suite TM One, di bawah penawaran penyelesaian Penjagaan Kesihatan Pintar, membolehkan pengguna menyesuaikan persekitaran pesakit mereka untuk pengalaman penjagaan pesakit yang lebih positif," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RSDH, Peter Hong berkata, kerjasama itu akan menjadikan Pusat Perubatan ParkCity sebagai hospital pertama di bawah kumpulan itu yang merintis penyelesaian Smart Patient Suite TM One.
Beliau berkata, melihat kepada sistem penjagaan kesihatan yang sentiasa berkembang, kami sentiasa berusaha untuk terus menawarkan penyelesaian yang akan meningkatkan pengalaman pesakit dengan memenuhi keperluan melalui penyesuaian teknologi digital.
"Melalui sokongan digital komprehensif TM One, kami yakin ini akan menyumbang dalam memacu evolusi ekosistem penjagaan kesihatan Malaysia masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, TM One juga sedang membuat kajian bersama untuk menyediakan penyelesaian pintar yang akan menawarkan penambahbaikan ciri-ciri jangkaan dan pencegahan, serta memperbaiki pemantauan dan pematuhan ubat.
Sebagai contoh, barangan kesihatan boleh pakai (wellness wearable), akan membolehkan pesakit berisiko tinggi yang telah menerima rawatan di kemudahan perubatan beralih sebagai pesakit luar dengan lebih cepat dan meneruskan pemantauan kendiri di rumah dengan lebih selesa dengan pegawai kesihatan boleh memanfaatkan analisis masa nyata untuk penjagaan pesakit. - DagangNews.com