TM rangkul Anugerah Digital-Utiliti MTEA 2023 untuk rumusan pengurusan tenaga kerja pintar | DagangNews Skip to main content

TM rangkul Anugerah Digital-Utiliti MTEA 2023 untuk rumusan pengurusan tenaga kerja pintar

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Mei - Telekom Research & Development Sdn Bhd (TM R&D), cabang inovasi Telekom Malaysia Bhd (TM) memenangi 'Anugerah Digital-Utiliti' bagi rumusan pengurusan tenaga kerja pintarnya, yang dikenali sebagai 'FORCE' di Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia (MTEA) 2023, anjuran Asian Business Review.

 

Ini merupakan anugerah ketujuh yang dimenangi oleh TM R&D daripada MTEA dalam tempoh lima tahun, mengukuhkan peranannya dalam memacu penggunaan teknologi termaju dan pendekatan berfokuskan mudah alih untuk menerajui produktiviti industri dan kecekapan operasi ketika Malaysia beralih menjadi sebuah ekonomi digital.

 

Ketua Pegawai Eksekutif TM R&D, Dr Sharlene Thiagarajah berkata, dalam menggalakkan pemikiran berfokuskan pertumbuhan menerusi inovasi dan pembinaan keupayaan, pihaknya sering menerima pengiktirafan atas kemajuan rumusan teknologi bagi memenuhi keperluan digital perniagaan kompetitif yang pantas berubah masa kini. 

 

Katanya, hasil kerja dalam R&D membantu syarikat-syarikat di rantau ini mengguna pakai rumusan automasi dan digital bagi meningkatkan produktiviti serta kecekapan tenaga kerja seterusnya mengurangkan kos melaksanakan perniagaan.

 

"FORCE menawarkan kecekapan operasi dan pengalaman pelanggan terbaik dengan mengautomasi tugasan pasukan lapangan yang ramai. 

 

"Ini menjadi alatan yang amat diperlukan bukan sahaja kerana keupayaannya mengautomasi fungsi sesebuah kumpulan tenaga kerja, tetapi juga membolehkan pelaksanaan penyelesaian digital yang menyeluruh.

 

"Kini, FORCE boleh digunakan secara efektif dalam sektor-sektor utama seperti Industri Air dan Utiliti, Perkhidmatan IT, Perkhidmatan Awam, Pembuatan, Hospitaliti dan Pengurusan Perladangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sharlene berkata, rumusan pengurusan tenaga kerja itu direka untuk membantu penerimaan digitalisasi secara progresif dalam strategi pertumbuhan organisasi, membolehkan mereka menikmati manfaatnya pada kos yang minimum. 

 

Katanya, memenangi anugerah itu memberikan inspirasi untuk terus mereka rumusan digital yang lebih pintar selari dengan transformasi TM ke arah menjadi sebuah syarikat teknologi berteraskan insan dan memacu Digital Malaysia.

 

Terdahulu, menerusi pembelajaran daripada pelaksanaan dalam ekosistem TM, perisian analitik termaju TM R&D pada platform FORCE mengukur dan melapor metriks prestasi perniagaan pada masa nyata. 

 

Ia membolehkan perniagaan yang bergerak pantas mampu membuat keputusan berteraskan data yang tepat bagi meningkatkan penjadualan tugas-tugas kompleks daripada pasukan lapangan yang ramai merentasi geografi, seterusnya memudahkan perancangan sumber dan kos-kos operasi. - DagangNews.com