TM sertai konsortium Asia Link Cable System tingkatkan kapasiti kabel dasar laut | DagangNews Skip to main content

TM sertai konsortium Asia Link Cable System tingkatkan kapasiti kabel dasar laut

Gambar HMN Tech
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 14 September - Telekom Malaysia, melalui cabang perniagaan borong domestik dan antarabangsa, TM Global, mengukuhkan komitmennya untuk memajukan landskap digital Malaysia dengan menyertai konsortium Asia Link Cable System (ALC).

 

TM dalam satu kenyataan media hari ini berkata langkah strategik itu meletakkan Malaysia sebagai salah satu destinasi utama yang menghubungkan Malaysia ke Hong Kong.

 

Pemangku Naib Presiden Eksekutif TM Global, Khairul Liza Ibrahim berkata penyertaan tersebut menandakan satu lagi kejayaan dalam usaha berterusan TM Global untuk meletakkan Malaysia sebagai hab digital di rantau ini.

 

“Dengan memanfaatkan lokasi strategik negara, ALC dijangka menarik lebih banyak kabel dasar laut antarabangsa untuk mendarat di Malaysia dan menarik pemain teknologi global untuk memanfaatkan pusat data kami.

 

“Ini mengukuhkan usaha kami untuk menyediakan rumusan ketersambungan global yang boleh dipercayai, pelbagai dan tidak terganggu kepada pelanggan. Ia juga membolehkan kami menyokong penggunaan pusat data hyperskala dengan lebih baik dan memenuhi keperluan rangkaian 5G di negara ini pada masa depan,” ujar beliau.

 

 

Khairul Liza Ibrahim (tiga dari kanan), bersama wakil-wakil konsortium ALC
Khairul Liza Ibrahim (tiga dari kanan), bersama wakil-wakil konsortium ALC

 

 

TM menyertai konsortium terbabit secara rasmi dengan menandatangani Perjanjian Pembinaan dan Penyelenggaraan (C&MA) bersama semua ahli konsortium yang diadakan di Pulau Pinang baru-baru ini

 

Menjangkau jarak keseluruhan kira-kira 7,200 km dengan kapasiti reka bentuk awal 24Tbps (terabait sesaat), stesen pendaratan kabel (CLS) untuk ALC akan terletak secara strategik di TM Exchange Kuala Sedili dan memanfaatkannya kedekatan jaraknya dengan pusat data TM di Iskandar Puteri, Johor.

 

CLS Sedili merupakan CLS antarabangsa keenam di negara ini, termasuk Kuala Muda, Morib, Mersing, Cherating dan Melaka, yang dijangka siap menjelang 2025.

 

ALC akan mempertingkatkan kapasiti pemindahan data dalam sistem kabel dasar laut sedia ada TM dengan ketara, memenuhi permintaan lebar jalur yang semakin meningkat di seluruh rantau ASEAN dan Asia Utara.

 

Tambahan pula, ALC menggunakan reka bentuk sistem kabel terbuka yang boleh disesuaikan dan serasi dengan pelbagai teknologi dan naik taraf, meletakkan TM dan ahli konsortium lain di kedudukan lebih baik bagi menangani permintaan lebar jalur yang semakin meningkat untuk kapasiti data lebih tinggi.

 

Dengan 32 sistem kabel dasar laut yang dimiliki dan dipajak menjangkau lebih 340,000 kilometer di seluruh dunia, TM berkata ia komited menyediakan prestasi perkhidmatan tertinggi dan pengalaman kualiti terbaik kepada pelanggan tempatan dan di peringkat antarabangsa.  - DagangNews.com