TM Wholesale meterai kerjasama dengan 9 TowerCos | DagangNews Skip to main content

TM Wholesale meterai kerjasama dengan 9 TowerCos

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 25 Okt. - Unit perniagaan borong domestik dan antarabangsa Telekom Malaysia Bhd. (TM), TM Wholesale memeterai kerjasama dengan sembilan (9) penyedia menara telekomunikasi (TowerCos), yang memberikan akses kepada kemudahan di tapak menara. 

 

Naib Presiden Eksekutif TM Wholesale, Amar Huzaimi Md Deris berkata, di bawah kerjasama berkenaan, kesemua TowerCos tersebut akan menawarkan TM dengan akses kepada tapak-tapak menara mereka termasuk kemudahan atas tanah dan di atas bumbung.

 

Katanya, ini membolehkan TM untuk menghubungkan menara-menara telekomunikasi berkenaan dengan rangkaian fiber optik berkelajuan tingginya bagi menampung prestasi dan keupayaan rangkaian yang berkualiti tinggi.

 

"TM menerusi TM Wholesale, komited untuk memastikan industri telekomunikasi negara disediakan dengan sambungan yang canggih dan penyelesaian infrastruktur fiber yang meluas sebagai pemacu untuk mempercepatkan penyampaian pengalaman digital berkualiti tinggi kepada seluruh rakyat Malaysia, bertepatan dengan peranan kami sebagai pemacu infrastruktur digital negara. 

 

"Ini akan membolehkan penyedia-penyedia perkhidmatan melayani pelanggan mereka dengan sambungan yang lebih pantas serta kapasiti lebar jalur (bandwidth) yang lebih tinggi untuk 4G masa kini dan perkhidmatan 5G pada masa hadapan di seluruh negara. 

 

"Kerjasama ini mengukuhkan lagi komitmen kami sebagai penggerak Digital Malaysia dalam mendukung aspirasi digital negara, termasuklah Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

TM Wholesale merupakan unit perniagaan borong domestik dan antarabangsa TM, yang menawarkan rangkaian perkhidmatan dan penyelesaian komunikasi borong yang komprehensif menjangkaui perkhidmatan sambungan. 

 

Jelasnya Amar Huzaimi, 9 TowerCos terlibat merupakan ahli Persatuan Penyedia Infrastruktur Telekomunikasi (PPIT) iaitu D’Harmoni Telco Infra Sdn Bhd, Melaka ICT Holdings Sdn Bhd, Perlis Comm Sdn Bhd, Infra Quest Sdn Bhd, Perak Integrated Network Services Sdn Bhd, EdgePoint Towers Sdn Bhd, PDC Telecommunication Services Sdn Bhd, Desabina Industries Sdn Bhd dan Yiked Bina Sdn Bhd.

 

Sementara itu Ketua Pegawai Operasi, D’Harmoni Telco Infra Sdn Bhd, Dato’ Mohd Rehat Ahmad yang juga merupakan Presiden PPIT berkata, selepas beberapa siri perbincangan yang telah membuahkan hasil, PPIT dan TM sekali lagi bersetuju untuk memeterai kerjasama baharu ini untuk terus bekerjasama dalam aspek akses kepada kemudahan di tapak-tapak menara.

 

"TM merupakan rakan usahasama PPIT sejak sekian lama melangkaui satu dekad, dan kami telah bersama-sama membina tahap kepercayaan yang amat tinggi di antara kedua-dua pihak," katanya. -DagangNews.com