TM Wholesale, Radian Arc bekerjasama sediakan pemainan video awan ke pasaran ASEAN | DagangNews Skip to main content

TM Wholesale, Radian Arc bekerjasama sediakan pemainan video awan ke pasaran ASEAN

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Julai - TM Wholesale, cabang perniagaan borong domestik dan antarabangsa Telekom Malaysia Berhad (TM) hari ini mengumumkan kerjasama dengan penyedia infrastruktur awan Radian Arc untuk mengembangkan tawaran permainan video awannya di Malaysia dan negara ASEAN yang lain.

 

Kerjasama itu juga menyaksikan kedua-dua pihak memanfaatkan kelebihan satu sama lain untuk memberikan pengguna kandungan berkualiti tinggi dan pengalaman pemainan video awan.

 

Melalui perkongsian itu, kedua-dua syarikat akan bekerjasama untuk menggunakan titik kehadiran (PoP) baharu di Malaysia menggunakan teknologi GPU Edge proprietari Radian Arc.

 

Ketersediaan platform itu adalah bagi memastikan unit pemprosesan pusat (CPU) ini boleh menyediakan aplikasi yang berkaitan dengan kos yang lebih rendah untuk disiarkan.

 

Selepas pelancaran platform permainan awan, TM Wholesale dan Radian Arc berhasrat untuk membuat pelbagai aplikasi berasaskan awan, seperti Kecerdasan Buatan (AI), Blockchain dan Internet Kebendaan (IOT) yang boleh diakses oleh pengguna untuk mempercepatkan transformasi digital.

 

Radian Arc juga bekerjasama Blacknut untuk membawa katalog permainan mereka ke rantau ini, mengukuhkan visi TM Wholesale untuk menyediakan penyelesaian permainan awan yang lebih baik.

 

Menerusi perkongsian itu, TM Wholesale akan menawarkan lebih 500 permainan premium mesra keluarga kepada penyedia perkhidmatan dengan masa mula yang lebih pantas untuk pelanggan.

 

Naib Presiden Eksekutif TM Wholesale, Amar Huzaimi Md. Deris berkata, pihaknya sentiasa komited untuk mempromosikan peralihan Malaysia kepada ekonomi digital yang maju.

 

"Kerjasama kami dengan Radian Arc adalah antara untuk memenuhi permintaan industri permainan video selain meneroka peluang dalam teknologi baharu seperti pengkomputeran awan dan memastikan pelanggan menikmati pengalaman digital berkualiti tinggi.

 

"Ia selaras dengan aspirasi kami untuk meletakkan Malaysia sebagai hab digital serantau dan meluaskan jangkauan melalui platform pengkomputeran edge untuk memberikan pengalaman pengguna yang lebih baik," katanya. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Radian Arc, David Cook berkata, selain meluaskan akses ke seluruh dunia, pihaknya berhasrat mencari rakan kongsi yang boleh meningkatkan tawaran perkhidmatan kepada syarikat telekomunikasi.

 

"Kerjasama itu juga akan meningkatkan aplikasi masa depan dengan memanfaatkan liputan rangkaian TM yang luas membolehkan kami dan Blacknut meningkatkan kualiti permainan awan untuk pelanggan di Malaysia," katanya. - DagangNews.com