TNB bantu bina kediaman baru veteran ATM | DagangNews Skip to main content

TNB bantu bina kediaman baru veteran ATM

Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zulkiblii Shikh Othman yang kehilangan rumahnya dalam satu kebakaran pada tahun lalu, menerima sumbangan kediaman baharu menerusi kolaborasi sulung antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Projek Jiwa Murni-Baiti Jannati, pada 13 Mac lalu di Lenggong, Perak.

 

 

KUALA LUMPUR 20 Mac - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi Projek Jiwa Murni-Baiti Jannati, satu program kerjasama sulung bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menyantuni veteran ATM, Zulkiblii Shikh Othman dengan penyerahan kediaman baharu bagi menggantikan rumahnya di Kampung Rambung di Lenggong, Perak yang hangus dalam kebakaran tahun lalu.

 

“Sumbangan kediaman baru ini diharap dapat memberi kegembiraan bagi Zulkiblii sekeluarga, lebih-lebih lagi bagi menyambut ketibaan bulan Ramadan dan Syawal tidak lama lagi,” kata Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat TNB, Mohamad Ariff Zainol.

 

“Kerjasama ini adalah sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat TNB dalam menghulurkan bantuan pembinaan kediaman bagi mereka yang memerlukan,” tambah beliau.

 

Penyerahan rumah kepada Zulkiblii dan isteri serta empat anak-anaknya disempurnakan Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dalam satu majlis pada 13 Mac lalu. Turut hadir semasa perasmian, Pegawai Memerintah 70 Rejimen Pakar Janaelektrik merangkap Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir. Husaini Husin; Panglima 2 Briged, Brigedier Jeneral Mohd Azmurin Mat Khalib dan Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat TNB, Mohamad Ariff Zainol.

 

Kediaman yang melibatkan kos pembinaan bernilai RM56,000 sumbangan Tabung Pembangunan Asnaf (TPA) TNB itu melibatkan tiga bilik tidur, dua tandas, dapur, ruang tamu, garaj kereta dan keseluruhan lantai jubin.

 

tnb
Dr. Shamsul Anuar Nasarah (empat, kanan) merasmikan kediaman baharu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zulkilblii Shikh Othman (kiri) yang dibina menerusi Projek Jiwa Murni-Baiti Jannati, program kerjasama sulung antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pada 13 Mac lalu di Lenggong, Perak.

 

Menerusi Tabung Pembangunan Asnaf dari dana zakat TNB, syarikat utiliti negara itu menyumbang RM56,000 bagi kos pembinaan kediaman yang dilengkapi dengan tiga bilik tidur, dua tandas, dapur, ruang tamu, garaj kereta dan keseluruhan lantai jubin.

 

Persatuan Wanita TNB (PELITAWANIS) Cawangan Ibu Pejabat turut menyampaikan sumbangan kelengkapan elektrik bernilai RM2,500.

 

Pembinaan kediaman baharu milik Zulkiblii yang bermula sejak 17 November 2020 mengambil masa 50 hari untuk disiapkan. Seramai seorang pegawai dan 22 anggota daripada 2 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Taiping dan 70 Rejimen Pakar Janaelektrik Rejimen Askar Jurutera Diraja (Askar Wataniah) bekerjasama untuk pembinaan.

 

Anggota 70 Rejimen Pakar Janaelektrik Rejimen Askar Jurutera Diraja mempunyai kepakaran dalam bidang elektrik dan berfungsi memastikan bekalan elektrik sentiasa berdaya harap semasa aman ataupun semasa darurat.

 

Selain daripada kerjasama dengan ATM, TNB turut melaksanakan Projek Baiti Jannati (PBJ) untuk membaiki, membina dan membiayai pembelian kediaman golongan yang memerlukan, termasuk orang kurang upaya, ibu tunggal, warga emas dan asnaf.

 

Tahun ini, TNB memperuntukkan anggaran RM6.6 juta bagi 132 penerima yang bakal dikenal pasti, hasil daripada zakat yang dikembalikan oleh Majlis Agama Islam Negeri (wakalah zakat) untuk pelaksanaan PBJ.

 

PBJ dilancarkan pada 2007. Sehingga 2012, kos membaiki, membina dan membeli kediaman dibiayai oleh TNB. Bermula tahun 2013, kos itu ditanggung menggunakan wakalah zakat.

 

Sehingga kini, TNB telah menaja lebih RM39 juta untuk kos pembinaan atau pembaikan kediaman bagi 879 penerima.

 

TNB juga melaksanakan Projek Mesra Rakyat yang berperanan membina atau membaik pulih kediaman golongan bukan Islam yang memerlukan. - DagangNews.com