KUALA LUMPUR 26 Sept - Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mencatatkan pemulihan pelepasan kos tidak seimbang (ICPT) berjumlah RM10.4 bilion pada separuh pertama tahun ini berikutan komitmen berterusan Kerajaan terhadap rangka kerja kawal selia berasaskan insentif (IBR) dan mekanisme ICPT untuk 18 kitaran sejak 2015.
Tambahan pula, syarikat dijangka akan memperolehi semula RM4.7 bilion kos ICPT daripada Kerajaan pada separuh kedua tahun ini.
Sehubungan itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata kumpulan itu dijangka menyaksikan trend positif pengurangan penghutang pelepasan kos tidak seimbang (ICPT), berikutan harga sederhana arang batu.
Beliau berkata perkembangan ini secara ketara mengukuhkan modal kerja TNB, sekali gus meningkatkan aliran tunai dan memperbaiki tahap penggearan pada 2023.
Pengurangan harga arang batu global, berserta pendekatan proaktif TNB bagi meningkatkan kutipan hasil, telah meletakkan prospek aliran tunai lebih baik kepada syarikat, disokong oleh pinjaman RM6 bilion yang dijamin kerajaan untuk menstabilkan industri tenaga.
Faktor-faktor ini secara kolektif menyumbang kepada pengukuhan aliran tunai TNB dan tahap penggearan kumpulan pada separuh pertama 2023 (1H2023).
"Pengurusan berhemah kewangan TNB ini membolehkan syarikat memberi ganjaran kepada pemegang saham kami dengan dividen interim sebanyak 18 sen, yang merangkumi 49.4% daripada pelarasan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI)," kata Baharin pada taklimat kepada penganalisis mengenai keputusan kewangan suku kedua kumpulan.
Mengulas mengenai prospek, TNB menganggarkan pemulihan kira-kira RM7 bilion daripada ICPT bagi separuh pertama tahun kewangan 2024, berdasarkan arah aliran harga bahan api semasa, mencerminkan pendekatan proaktif TNB dalam mengurus prospek kewangannya dan mengawal perbelanjaan berkaitan bahan api.
“Walaupun menghadapi cabaran yang berpunca margin negatif bahan api negatif dan turun naik pertukaran asing, TNB melaporkan prestasi membanggakan dalam persekitaran yang mendesak ini,” kata Baharin mengulas prestasi kumpulan tersebut pada 1H2023.
Dalam tempoh berkenaan, TNB melaporkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM1.2 bilion, manakala hasil menyaksikan peningkatan 3.8% kepada RM25.95 bilion, berbanding tempoh yang sama pada 2022. - DagangNews.com